SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang mengharamkan rokok elektronik di negara ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tidak adil jika kerajaan ingin menjaga kepentingan peniaga vape semata-mata dan terus berkompromi mengenai perkara itu.
Menurutnya, penggunaan rokok elektronik akan menjadi wabak seperti gejala merokok jika perkara itu tidak tangani.
"Kini terdapat lebih 30 negara di Asia termasuk China, India dan Singapura sudah melaksanakan larangan penggunaan vape dan kita berharap Malaysia mengambil langkah sama secepat mungkin.
"Mereka yang masih menimbangkan keuntungan ekonomi daripada industri vape adalah salah dan kerajaan sepatutnya tidak boleh berkompromi lagi dalam isu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya dikelirukan dengan hujah mendakwa industri vape tidak berbahaya dan berhenti daripada merokok kemudian bertukar kepada vape bukan alternatif yang baik.
"Kematian akibat vape di Amerika Syarikat sudah didedahkan dan pakar perubatan di negara ini mengesyorkan jika vape tidak dibanteras sekarang ia pasti membawa musibah lebih besar terutama dalam kalangan anak muda.
"Di Filipina, kes remaja yang menghisap vape dan merokok selama 6 bulan didapati paru-parunya rosak teruk manakala di China semua platform menjual atas talian produk e-rokok ditutup," katanya.
Mohd Azmi berkata, kerajaan perlu melihat akibat vape dengan serius dan segera wujudkan undang-undang mengharamkannya tanpa perlu menggadaikan kesihatan rakyat demi menjaga kepentingan ekonomi pihak tertentu.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja muntah hijau, sesak nafas hisap vape