Malaysia perlu guna kiraan gaji mengikut jam
SHAH ALAM - Sistem kiraan gaji di negara ini perlu diubah mengikut kiraan jam berbanding gaji bulanan seperti yang dipraktikan ketika ini.
Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, pendapatan seseorang individu itu mampu ditingkatkan sekiranya kiraan gaji mengikut jam digunakan.
Beliau menegaskan negara maju lain seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) sudah lama menggunakan cara kiraan tersebut yang membolehkan rakyat mereka bekerja dengan lebih daripada satu majikan.
"Banyak negara sudah mula keluar daripada aspek pemurataan. Jika ini berlaku, kita akan dapat melihat banyak pekerja yang akan bekerja dengan lebih daripada satu majikan.
"Situasi ini telah berlaku di AS dan UK yang mana ia dipanggil 'contract for service' dan kalau ini berjaya dipraktikan di negara ini, ia akan meningkatkan pendapatan seseorang individu itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar edisi ke-324 bertajuk Gaji Minimum RM1,500 : Mampu atau Melingkup yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.
Wacana itu turut menampilkan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Sembilan, Amirhamzah Karim manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Barjoyai berkata, selain kiraan gaji mengikut jam, syarikat juga perlu berusaha untuk meningkatkan produktiviti untuk membolehkan gaji pekerja dinaikkan.
Katanya, majikan perlu melabur dalam teknologi dan pekerja pula perlu menjalani latihan untuk menjadi tenaga kerja yang lebih mahir sekali gus mampu meningkatkan produktiviti sesebuah syarikat.
"Jika kedua-dua ini boleh berlaku ( majikan melabur dalam teknologi dan pekerja menjadi tenaga kerja yang lebih mahir), maka produktiviti akan meningkat dan dengan sendirinya gaji juga akan meningkat.
"Namun, ia mungkin memakan masa untuk memastikan berjaya. Untuk jangka masa pendek, kita perlu melihat masalah gaji ini sebagai satu isu yang serius untuk ditangani serta merta terutama kepada lebih 16.5 peratus kumpulan miskin relatif dan lapan peratus kumpulan miskin mutlak.
"Mereka ini yang paling terkesan ketika ini dan kerajaan perlu memainkan peranan mereka dalam isu ini. Penyelesaian ini perlu difikirkan bersama bukan semata-mata oleh majikan tetapi juga kerajaan dan kumpulan pembuat polisi dan pelaksana di negara ini," katanya.