Harimau Malaya dan bola sepak perlu diselamatkan daripada kepupusan
DI MALAYSIA, ada tiga jenis harimau yang menjadi identiti dan menjadi kebanggaan kita termasuklah Mat Taici.
Satu adalah Harimau Malaya atau nama saintifiknya, atau Panthera Tigris Jacksoni dan kedua adalah Harimau Malaya, nama jolokan buat pasukan bola sepak senior negara.
Dan ketiga adalah Harimau Muda, juga nama jolokan buat pasukan bola sepak negara tetapi khusus untuk skuad muda.
Baru-baru ini Mat Taici amat risau bila mengenangkan Harimau Malaya diancam kepupusan di mana populasi haiwan itu di hutan negara kini dilapor berjumlah kurang daripada 150 ekor.
Persoalan yang berlegar sekarang, bagaimanakah pihak berkaitan di negara ini mampu memastikan spesies yang dikenali sebagai 'Pak Belang' itu tidak pupus ditelan zaman?
Di Kazakhstan misalnya, harimau diisytiharkan pupus sekitar 70 tahun lalu, dan kerajaan negara itu mengambil langkah melaksanakan program pembiakan semula.
Susulan ancaman kepupusan harimau liar pada masa depan, pemimpin di 13 negara termasuk Malaysia memutuskan bertindak dan bekerjasama mencapai matlamat menggandakan bilangan harimau di hutan menjelang 2022. Mat Taici sangat-sangat berharap agar Harimau Malaya dapat diselamatkan.
Berkisar tentang dua lagi harimau, bola sepak negara baik pasukan senior mahupun junior juga di ambang zaman kegelapan.
Pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 yang berlangsung di Singapura tahun lalu menyaksikan Harimau Malaya pulang awal, hanya bersaing di peringkat kumpulan.
Satu kekecewaan besar buat jutaan penyokong bola sepak negara.
Kisar tentang adik pula, badi kekalahan pasukan abang ibarat menghantui kontinjen bola sepak negara.
Marah, kecewa dan sedih. Itulah gambaran perasaan sebahagian besar daripada 32 juta peminat Harimau Muda termasuk Mat Taici apabila anak buah jurulatih kebangsaan, Brad Maloney menjadi 'lauk' kali kedua dan tewas 0-2 kepada Laos di Stadium Morodok Techo, Phnom Penh, Kemboja, pada Ahad malam.
Tak tahu di mana silapnya. Adakah pasukan bola sepak negara yang digelar Harimau Malaya dan Harimau Muda turut di ambang kepupusan?
Mat Taici berharap sangat, sebagai penyokong setia, teringin sekali melihat pasukan negara kembali ke zaman kegemilangan di mana pemain ternama seperti Datuk Mohd Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Ann dan ramai lagi beraksi.
Jadi bermula sekarang, tiga jenis harimau itu perlu diselamatkan supaya tidak diancam 'kepupusan'.
Pss: Mat Taici kalau main bola akan jadi pemain sayap kanan