SEREMBAN - Keputusan Pas tidak menawarkan sebarang jawatan Exco Kerajaan Terengganu dan Kelantan kepada wakil rakyat UMNO setakat ini bukan merupakan satu isu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan negeri yang terbentuk itu merupakan hasil keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
"Itu isu yang lain, yang kita mahu tuju ini adalah PRU15 dan memandang ke arah itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen UMNO Peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.
Ahmad Zahid sebelum ini menyatakan harapan untuk wakil rakyat parti itu diberi peluang berada dalam kerajaan Terengganu pimpinan Pas.
Pada 14 September lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, ada perancangan untuk memulakan penyertaan wakil UMNO dalam kerajaan negeri pimpinan Pas seperti Kelantan dan Terengganu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar terus maju dan tidak menoleh ke belakang dalam meneruskan perjuangan sehingga PRU15 seterusnya menawan kembali Putrajaya.
"Rakyat mengharapkan sinar baru kerana mereka amat kecewa dengan apa yang berlaku sekarang," katanya.