Pukul anak kerana bawa pulang makanan

Iklan
Suspek direman selama tiga hari selepas dihadapkan ke Mahkamah Temerloh hari ini.

TEMERLOH - Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun cedera selepas dipukul bapanya kerana membawa pulang semula makanan yang dibawanya pada majlis perpisahan sekolah Jumaat lalu.

Dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Temerloh, suspek yang berusia 47 tahun yang juga warga Indonesia itu didakwa memukul anaknya menggunakan penyangkut baju dan pinggan di antara jam 4 hingga 5 petang pada 22 November lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kejadian itu diketahui ibu mangsa selepas dia menerima panggilan daripada anak keduanya yang berusia 10 tahun pada hari berkenaan.

Menurutnya, kakak mangsa memberitahu ibu mereka bahwa adiknya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu dipukul bapa mereka.

Iklan

"Selepas menerima berita itu, ibu mangsa pergi ke Jabatan Bantuan Guaman Raub untuk menuntut kembali hak penjagaan anak mereka yang telah diberikan kepada suspek setelah bercerai pada tahun 2015 dan dinasihatkan membuat laporan polis," katanya.

Mohd Yusri berkata, hasil soal siasat ke atas mangsa kejadian berpunca disebabkan makanan dibawa ke majlis perpisahan sekolah tidak disentuh oleh rakan dan guru mangsa.

Iklan

"Mangsa telah membawa pulang makanan tersebut dan bapanya yang mengetahui kejadian tersebut naik marah dan bertindak memukul serta memaki hamun mangsa.

"Mangsa telah dibawa ke hospital dan hasil pemeriksaan mengesahkan mangsa mengalami kesan garisan lembam pada paha kiri dan bengkak di bahagian kepala akibat diketuk dengan objek," katanya.

Katanya, suspek telah ditangkap dan dikenakan tahanan reman selama tiga hari sehingga Selasa ini selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Ti Pei Si di Mahkamah Temerloh hari ini mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.