SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim teguh dengan pendiriannya untuk tidak menerima sebarang jawatan sekiranya berlaku rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar turut menegaskan bahawa beliau juga tidak memohon rombakan Kabinet itu dibuat mahu pun menawarkan diri untuk menyertai Kabinet baharu Dr Mahathir sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau hanya menunggu masa sesuai bagi menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri berdasarkan persefahaman yang dimuktamadkan sebelum ini.
"Saya tidak bercadang menyertai Kabinet (Dr Mahathir). Seperti saya cakap sebelum ini, saya tidak memohon (rombakan Kabinet) dan bagi saya persefahaman adalah jelas.
"PM, TPM dan saya, tunggu (masa sesuai)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Reformis di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendiriannya sama ada akan menyertai barisan Kabinet baharu Dr Mahathir atau sebaliknya sekiranya berlaku rombakan Kabinet.
ARTIKEL BERKAITAN:
Anwar dalam Kabinet: Belum buat keputusan, kata PM
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok juga merupakan Pengerusi Otai 98, Dr Idris Ahmad serta beberapa pemimpin lain.
Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis tersebut Anwar berkata, dalam Mesyuarat Presiden PH semalam juga, Dr Mahathir dengan jelas menyatakan, beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.
Katanya, kenyataan dan jaminan Dr Mahathir itu sudah jelas dan berharap semua pihak agar dapat bersabar.
Anwar turut menegaskan bahawa beliau juga tidak gusar dengan segala tohmahan dari pihak tertentu kononnya ada pemimpin lain yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Dr Mahathir.
"Yang akan tentukan saya menjadi Perdana Menteri kelapan bukan dua tiga kerat pemimpin ini (tetapi) yang tentukannya adalah rakyat,” katanya.
Semalam, Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan akan merombak barisan Kabinet sedia ada dalam masa terdekat sebaliknya kemungkinan boleh berlaku jika ada sebarang keperluan untuk berbuat demikian.
Ditanya sama ada Anwar akan turut berada dalam senarai rombakan itu, beliau menegaskan belum membuat sebarang keputusan.