100 koperasi di Pahang tidak aktif

Iklan
Ibrahim (empat dari kiri) merasmikan Mini Karnival Koperasi Daerah Kuantan di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) hari ini.

KUANTAN - Kira-kira 100 atau lima peratus daripada 1,134 koperasi berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang tidak aktif sehingga Oktober lalu.

Pengarah SKM Pahang, Ibrahim Kasah berkata, bagaimanapun angka tersebut tidak membimbangkan kerana pihaknya sudah mengatur perjumpaan dengan pihak pengurusan koperasi yang telah dikenalpasti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sesi perjumpaan itu akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan pihak pengurusan koperasi dapat mengaktifkan koperasi mereka semula.

"Koperasi yang tidak aktif itu bukan bermakna mereka sudah tidak wujud sebaliknya mereka mempunyai masalah membabitkan pentadbiran seperti kegagalan mengadakan mesyuarat tahunan dan menghantar penyata kewangan semasa.

Iklan

"Itulah antara masalah yang kita kenal pasti...sebab itu SKM negeri sudah mengadakan program turun padang bagi membantu koperasi berkenaan dan kita harap mereka dapat memberikan kerjasama untuk memastikan aktiviti (koperasi) kembali aktif," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mini Karnival Koperasi Daerah Kuantan di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) hari ini.

Iklan

Mengulas mengenai penganjuran mini karnival itu, Ibrahim berkata, penganjuran itu bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempromosikan produk mereka melalui bantuan ditawarkan SKM.

Ibrahim berkata, banyak produk PKS berpotensi dikomersialkan namun mereka tidak mempunyai platform sesuai untuk dikembangkan.

"Jadi atas dasar itu, SKM menyediakan peluang kepada mereka melalui mini karnival seperti ini dan untuk makluman (mini) karnival di Kuantan adalah lokasi keempat bagi tahun ini...kali pertama kita anjurkan di Mempaga, dekat Bentong; Sungai Koyan, Lipis diikuti Felda Sebertak, Bera," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan menganjurkan mini karnival sama di Felda Jengka, Maran pada 3 Disember ini dan Muadzam Shah, Rompin pada 5 Disember.

Katanya, penganjuran ini dapat memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan asas dan barangan basah pada harga istimewa.

"Saya yakin kaedah ini dapat menghapuskan kegiatan pengambilan untung berlebihan oleh orang tengah," katanya.