IPOH - Penduduk apartmen di Taman Meru Impian, Jelapang di sini dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dan gegaran sebelum terlihat api marak membakar kediaman yang didiami pasangan suami isteri warga emas yang ditemui rentung dalam rumah mereka hari ini.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, dia bergegas turun untuk meninjau keadaan dan punca bunyi letupan tersebut.
"Turun sahaja saya lihat api sudah mula membakar rumah di tingkat bawah. Saya minta jiran-jiran hubungi bomba kerana keadaan api yang boleh merebak ke rumah bersebelahan.
"Bunyi letupan memang kuat hingga memecahkan pintu kaca gelongsor dan pintu besi di balkoni selain cermin-cermin tingkap rumah itu,” katanya.
Menurutnya, pasangan suami isteri berkenaan disifatkan sebagai baik dan aktif menyertai aktiviti yang diadakan persatuan penduduk di situ.
Dalam kejadian awal pagi tadi, Kamal Mustafa dan isteri, Kamariah Talib masing-masing berusia 70-an ditemui rentung di ruang tamu dan bilik air rumah mereka.
Turut ditemui, dua tong gas berhampiran dengan mayat mangsa yang dipercayai menjadi punca letupan itu.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Sinar Harian dimaklumkan proses bedah siasat akan dilakukan esok bagi mengetahui punca sebenar kematian.
ARTIKEL BERKAITAN: Apartmen didiami terbakar, dua warga emas rentung