SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat ahli PKR lupa daratan dan menyalahgunakan kuasa selepas memiliki jawatan dalam kerajaan.
Menurutnya, ahli-ahli PKR ini dilihat sudah mula mengikut perangai buruk UMNO dahulu.
"Kadang-kadang ada yang lupa. Bukan parti lawan, dalam PKR pun ada yang lupa. Nak sebut reformasi pun takut. Nak jumpa reformis pun tak berani sebab mereka sudah lupa daratan.
"Lupa bahawa perjuangan ini bukan untuk jaga seorang dua orang, bukan nak jaga kedudukan (sebagai) Menteri, siapa sokong aku dapat projek. Siapa tak sokong tak dapat projek,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Reformis 2019 anjuran Otai Reformis 98 di Ideal Convention Centre Shah Alam di sini hari ini.
Dalam ucapan Presiden PKR itu, Anwar seakan akan menyindir timbalannya yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengadakan rundingan 'pintu belakang' dengan pemimpin parti pembangkang.
"Kita diberi amanah, jangan salah guna kuasa. Saya terus terang sebab dua hari lalu saya jumpa (Perdana Menteri) Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) berbincang.
"Saya sebut benda ini, kita kena hentikan amalan ini (beri projek), ini ertinya salah guna kuasa. Bukan setakat jumpa orang dalam parti kita, runding dengan parti musuh pun. Ini apa? Parti projek?Terbongkar dengan sendiri, ia terbongkar kerana kita lupa perjuangan ini,” katanya.
Sebelum ini, Mohamed Azmin mengadakan pertemuan dengan sekumpulan ahli Parlimen UMNO dan PKR di kediaman rasminya dipercayai bagi membincangkan isu sokongan kepada Perdana Menteri.
Namun dakwaan itu dinafikan Mohamed Azmin dan memaklumkan pertemuan itu hanya membincangkan soal pembangunan di kawasan Parlimen pemimpin yang terbabit.
Anwar berkata, beliau juga tidak akan menjadi pemimpin lupa daratan, merujuk kepada persetujuan pemimpin parti komponen PH berhubung kedudukannya sebagai Perdana Menteri selepas Dr Mahathir.
"Ditakdirkan saya jadi (Perdana Menteri), saya tak mungkin lupa sejarah perjuangan kita. Tak ada makna kita pegang jawatan, dapat sanjungan tapi kita lupa daratan.
"Tak ada makna bangga dengan kedudukan kalau nasib hidup rakyat merempat,” katanya.