KOTA BHARU - Seramai 18 individu daripada 20 yang ditahan sejak awal tahun ini atas dakwaan menjadi 'keldai akaun' dalam kes melibatkan Macau Scam di negeri ini sudah didakwa di mahkamah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, kebanyakan individu berkenaan yang berumur antara 18 hingga 50-an dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Beliau berkata, 'keldai akaun' ini membuka akaun bank dan kemudiannya menyerahkan nombor akaun dan kad pengeluaran wang automatik (ATM) kepada anggota sindiket berkenaan untuk digunakan bagi transaksi wang mangsa yang tertipu.
"Kebanyakan kes melibatkan pinjaman wang tidak wujud di mana kebanyakan mangsa terdiri daripada pelajar, pesara kerajaan, warga emas dan ibu tunggal yang menyerahkan kad ATM serta nombor pin kepada anggota sindiket atas alasan mudah untuk buat pemantauan apabila wang pinjaman dimasukkan.
"Di sini, kita mahu menasihatkan mana-mana individu agar tidak sewenang-wenangnya membenarkan pihak tertentu menggunakan akaun mereka untuk sebarang transaksi wang," katanya.
Ahmad Azizul berkata, tahun ini sahaja JSJK Kontinjen Kelantan mencatatkan 99 kes melibatkan Macau Scam dengan jumlah kerugian RM3.7 juta.
"Jumlah kerugian tidak menentu. Adakalanya hanya sekitar RM780 sehinggalah paling tinggi RM500,000 pada tahun ini melibatkan seorang kerani wanita berusia 40 tahun di Tanah Merah pada Mei lalu.
"Tahun lepas ada satu kes melibatkan seorang warga emas di Kuala Krai yang tertipu hampir RM5 juta selepas membuat pemindahan wang ke beberapa akaun pihak lain atas dakwaan melakukan kesalahan," katanya.
Katanya, antara penipuan yang seringkali dikenakan oleh sindiket ke atas mangsa adalah terlibat dalam pengubahan wang haram, membuat penghantaran barangan menyalahi undang-undang, gagal melunaskan bayaran tertunggak pelbagai bil, gagal hadir bicara mahkamah, tidak bayar bil kad kredit dan gagal jelaskan pinjaman wang. - Bernama