KOTA ISKANDAR - Pelan yang terlalu banyak dirangka menjadi faktor utama pembentangan Belanjawan Johor 2019 dan 2020 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat lemah dan tidak inklusif.
Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, perkara itu juga dilihat menjadi faktor utama Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor 2019-2030 masih tidak dapat dilaksanakan sehingga kini.
"Itulah punca utama kelemahan Belanjawan Johor 2020 ini, kerajaan terus mencadangkan pelan demi pelan yang entah ke mana perginya akhir nanti.
"Dalam Belanjawan 2019, kita lihat lima pelan dirangka, Belanjawan 2020 pun masih berpelan-pelan lagi, malah ada enam pelan dan tiga majlis jawatankuasa mahu ditubuhkan.
"Paling penting, sekarang ini siapa anggota dalam Majlis Ekonomi Negeri Johor yang telah menilai Belanjawan Johor 2020 ini, mampukah pelan-pelan kajian yang diumumkan menguji dasar dan polisi sedia ada.
"Bukankah kita sepatutnya menilai strategi dan inisiatif dalam usaha merealisasikan sesuatu pelan atau belanjawan, justeru saya ingin bertanya sejauh manakah pencapaian pelan-pelan yang dirangka dalam Belanjawan 2019?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri di sini hari ini.
Hasni berkata, Kerajaan Johor juga dilihat gagal menjadikan negeri ini berprestasi tingg’ seperti yang sering dicanang apabila pelbagai dasar dan pelan yang direncana gagal menemui sentuhan terbaik.
"Sebaliknya apa yang berlaku, rakyat dan pembangunan Johor menjadi lesu, tertangguh dan terasing daripada perubahan serantau mahupun global.
"Kepada kerajaan, Belanjawan Johor 2020 sepatutnya menjadi bajet yang dipinda, ia juga perlu mengambil kira 15,086 majoriti di Tanjung Piai sebagai suara hati akar umbi yang langsung tidak berpuas hati dengan kerajaan biasa-biasa ini,” katanya.