NAIB juara SS Purple League (SSPL) musim lalu, Kelab Badminton (BC) Kepong tidak kecewa sekiranya tidak meraih dua kedudukan teratas untuk layak secara automatik ke pusingan akhir SSPL 2018/19.
Biarpun menang 14-8 ke atas Bandar Maharani BC di Gem In Mall tadi, kedudukan Kepong BC yang berada di kedudukan kedua liga ketika ini dijangka akan turun semula selepas pertemuan penting pasukan ranking ketiga dan keempat, Puchong United dan Petaling BC.
Ketua Jurulatih Kepong BC, Mohd Zakry Abdul Latif berkata, kedudukan pasukan bergantung perlawanan terakhir liga antara Puchong United BC dan Petaling BC malam ini.
"Dari segi Kepong BC, prestasi yang ditunjukkan pemain ada kalanya bagus dan ada ketikanya juga tidak menentu. Saya harap dalam apa-apa situasi sekalipun sama ada kita layak secara automatik atau tidak, pemain akan memperbaiki kelemahan mereka.
"Bagus juga andai beraksi di peringkat kedua kerana ianya akan memberikan lebih banyak pendedahan perlawanan sebelum mengharungi peringkat terakhir di Resorts World Genting,”tambah Zakry lagi.
Kepong BC gagal meraih kemenangan dalam acara perseorangan lelaki setelah pemainnya, Yan Runze kalah kepada pemain Bandar Maharani BC, Lim Chong King 2-3 (7-11 11-8 8-11 11-4 3-6) dalam acara pertama.
Selepas itu Kepong BC kembali bangkit dalam perseorangan wanita melalui Qin Jin Jing yang mengatasi pemain Bandar Maharani BC, Yap Yee dengan keputusan 3-1 (11-7 10-11 11-4 11-9).
Kepong BC semakin selesa mendahului kedudukan keseluruhan 8-4 setelah mereka turut menambah kemenangan dalam acara beregu lelaki. Kemenangan itu dihasilkan Lu Ching Yao- Tee Kai Wun yang menang ke atas Ooi Jhy Dar- Yap Roy King 3-0 (11-6 11-5 11-6).
Anna Cheong Ching Yik- Nur Mohd Azriyn Ayub melebarkan kedudukan buat Kepong BC selepas mereka mengatasi pasangan beregu campuran Bandar Maharani BC, Wong Tien Ci- Yap Rui Chen 3-2 (9-11 11-6 6-11 11-10 11-7) membolehkan mereka mendahului 11-6 secara keseluruhan.
Naib juara SSPL musim lalu itu terus menambah mata melalui Lim Chi Wing yang menewaskan Ng Jun Yan dalam satu lagi acara perseorangan lelaki dengan keputusan 3-2 (8-11 11-9 11-7 4-11 11-3).