KOTA BHARU - Penemuan rangka manusia di kawasan semak berdekatan Kampung Batu Balai, Kuala Krai petang semalam, berjaya merungkai misteri kehilangan seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak sebulan lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintedan Suzaimi Mohammad berkata, polis menerima laporan berkaitan rangka itu kira-kira pukul 5.30 petang sebelum bergegas ke lokasi.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, hasil siasatan awal, polis menemui rangka manusia bersama sebatang tongkat dan baju T. Jarak penemuan rangka manusia dengan tempat warga emas yang dilaporkan hilang itu hanya lebih kurang satu kilometer.
"Sebelum ini ada laporan mengenai kehilangan seorang warga emas berusia 73 tahun di kawasan berdekatan.
"Jadi dalam kes ini, polis percaya rangka yang ditemui itu adalah milik warga emas yang dilaporkan hilang pada 24 Oktober," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya rangka itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk proses bedah siasat lanjut.
Sebelum ini seorang warga emas dikenali sebagai Che Ya Che Mood keluar dari rumahnya pada 6 pagi untuk beriadah. Difahamkan, dia dilaporkan dilihat kali terakhir pada 24 Oktober kira-kira 200 meter dari rumahnya. - Bernama
Artikel Berkaitan