[VIDEO] Rasuah: Dua ahli PKR Pahang dipecat serta-merta

Iklan
Ahmad (kiri) dan Fahmi mengumumkan keputusan MPP berhubung salah laku rasuah dua ahli PKR Pahang pada sidang media di sini hari ini.

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Dua ahli Parti Keadian Rakyat (PKR) Pahang dipecat keanggotaan parti itu serta-merta akibat salah laku rasuah dan suapan ketika pemilihan parti tahun lepas.

Individu terbabit ialah Ketua PKR Cabang Bera yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid dan seorang lagi ahli, Ismail Dulhadi.

Iklan
Iklan

Zakaria adalah setiausaha politik di Kementerian Kerja Raya ketika kesalahan itu dilakukan.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, salah laku kedua-dua ahli PKR itu diperakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui surat yang diterima parti bertarikh 23 Oktober lalu.

Iklan

Ahmad Kasim meminta lembaga disiplin parti mengenakan tindakan tata tertib terhadap individu terbabit dan memaklumkan kembali kepada SPRM.

"Sebagai sebuah parti yang konsisten terhadap salah laku rasuah, keputusan ini memberi mesej jelas kepada seluruh anggota dan rakyat bahawa parti tidak akan kompromi dengan ahlinya.

Iklan

"Oleh itu, MPP hari ini telah membuat keputusan memecat keanggotaan mereka selepas dicadangkan pengerusi lembaga disiplin.

"Mereka berhak mengemukakan rayuan kepada keputusan ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, sidang akhbar itu tidak memperincikan salah laku berkenaan kerana ia satu perkara sulit.

Menurutnya, kesalahan dilakukan dua individu itu disiasat SPRM dan MPP setuju dengan cadangan pemecatan serta-merta.

"Memadai untuk dimaklumkan pada ketika itu, Zakaria merupakan setiausaha politik dalam Kementerian Kerja Raya.

"Beliau disiasat SPRM bersama-sama dengan Ismail. SPRM memperakukan," katanya.

Ketika ditanya mengenai tindakan lanjut yang bakal dilakukan SPRM terhadap dua individu terbabit, Ahmad Fahmi berkata, ia terpulang kepada suruhanjaya itu untuk berbuat demikian.