KUCHING - Sektor pelancongan antara perkara yang dibincangkan dalam sidang Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) yang diadakan di sini.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin berkata, melalui BIMP-EAGA ini, keempat-empat negara cuba mengintai peluang untuk menggabungkan sektor pelancongan dalam satu pakej untuk manfaat bersama.
"Sektor pelancongan mempunyai pasaran yang cukup luas, jadi kita (BIMP) mahu melihat bagaimana produk pelancongan yang ada boleh digabungkan dalam satu pakej untuk menarik pelancong dari luar.
"Perkara ini sangat relevan khususnya dalam konteks Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya pada sidang akhbar BIMP-EAGA Ke-23 di sini hari ini.
Radzi berkata, pelbagai isu dan peluang yang lain juga turut dibincangkan bersama melalui penganjuran BIMP-EAGA itu bagi mengoptimumkan pasaran dan manfaat bersama.
Katanya, antaranya adalah pembangunan infrastruktur, pembangunan bandar (bandar raya pintar) dan Ocean Health.
"Sebagai sebuah organisasi yang menggabungkan negara BIMP yang membentuk satu sub rantau, kita kaji apa kekuatan yang ada untuk memastikan kita dapat menggemblengkan kekuatan bersama,” katanya.
Tahun ini, bandar raya Kuching adalah tuan rumah penganjuran sidang BIMP-EAGA ke-23, yang berlangsung mulai Khamis lepas. - Bernama