Apam Johol kini 'merantau' dunia

Iklan
Hatijah mengukus kuih Apam Johol ketika ditemui Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama

KUALA PILAH - Kuih tradisional Apam Johol adalah kuih terkenal di seluruh pelosok Negeri Sembilan bahkan menjadi kuih wajib dalam acara besar di Istana, Balai Undang, kerajaan negeri, majlis perkahwinan dan juga korporat di negeri ini.

Sebut sahaja Apam Johol, kuih yang dibaluti daun rambai itu sudah pasti membangkitkan selera dek kerana aroma baunya yang harum sekali gus menjadi kegemaran masyarakat di sini.

Iklan
Iklan

Kini, kuih berkenaan tidak lagi eksklusif hanya di Negeri Sembilan terutamanya Johol, kawasan kelahiran kuih berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Apam Daun Rambai bahkan ia mula ‘merantau’ di seluruh negara serta beberapa negara luar.

Kuih tradisional Apam Johol, di mana daun rambai yang digunakan untuk membungkus kuih Apam Johol bagi membangkitkan aroma kuih tersebut. - Foto Bernama

Pengusaha KT Apam Johol, Hatijah Kassim, 56, berkata, selain mendapat permintaan daripada beberapa negeri seperti Selangor, Pahang, Melaka, Sarawak dan Johor, kuih berkenaan yang mempunyai peminat tersendiri sudah pun menjelajah negara lain seperti Singapura dan Jordan.

Iklan

"Di Malaysia, negeri yang berminat mendapatkan Apam Johol adalah seperti Sarawak dan kita juga mempunyai peniaga yang mengambil kuih ini secara sejuk beku untuk dijual di Seri Kembangan, Selangor yang mempunyai ketahanan sehingga sebulan.

"Selain masyarakat biasa, Apam Johol ini digemari pihak istana, malah terdapat beberapa orang kenamaan yang turut menggemarinya. Kita juga mendapat tempahan daripada hotel di Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur,” katanya di sini.

Iklan

Memiliki tekstur yang gebu dan lembut serta mempunyai rasa yang sedikit manis, Apam Johol selain sedap dimakan begitu sahaja turut boleh dicicah dengan rendang dan sambal tumis dan sesuai dijadikan sarapan atau minum petang.

Hatijah menunjukkan kuih Apam Johol bersama sambal tumis ketika ditemuramah Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama

Hatijah yang sudah 15 tahun mengusahakan kuih berkenaan berkata resipi turun-temurun keluarganya itu memiliki ramuan dan teknik adunan khas menyebabkan ia bukan sahaja menjadi kegemaran ramai, malah mampu menjual sebanyak 800 biji pada hari biasa dengan harga 50 sen sebiji.

"Permintaan meningkat pada musim cuti sekolah dan setakat ini saya yang dibantu tiga pekerja mampu menghasilkan paling banyak 3,000 biji sehari dan ia bergantung kepada permintaan.

"Dahulu, Apam Johol ini tidak dikomersialkan dan hanya kuih tradisional di Johol, namun selepas penjenamaannya kira-kira 10 tahun dahulu daripada Apam Daun Rambai kepada Apam Johol, permintaan terhadap kuih ini semakin meningkat.

"Saya juga sedang mempertimbangkan permintaan dua individu dari Melaka dan Pahang yang menyatakan minat menggunakan jenama saya untuk dipasarkan di negeri mereka,” katanya.

Beliau berkata, di Johol setakat ini terdapat lima pengusaha Apam Johol termasuk dirinya dan berharap kuih berkenaan mampu bertahan dengan saingan kuih moden yang semakin banyak di pasaran. - Bernama