Tiga jam padam kebakaran 270 tong bahan kimia

Iklan
Anggota bomba mengambil masa hampir tiga jam bagi memadamkan kebakaran melibatkan 270 tong bahan kimia di Kampung Tambak Jawa pagi tadi.

KUALA SELANGOR - Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa hampir tiga jam bagi memadam kebakaran melibatkan longgokan 270 tong bahan kimia di Jalan Kapar Batu 16, Kampung Tambak Jawa di sini pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, tiada mangsa dilapor cedera dalam kejadian yang turut menyebabkan berlaku letupan bahan kimia itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian pada jam 3.29 pagi.

Katanya, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dan BBP Kapar dikejarkan ke lokasi.

Iklan

"Menurut komander operasi, kejadian melibatkan tong bahan kimia yang ditinggalkan di kawasan lapang berkeluasan 50 x 50 kaki persegi.

"Anggota bomba berjaya memadam sepenuhnya kebakaran pada jam 5.58 pagi. Kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, anggota bomba yang melaksanakan kerja-kerja pemadaman api sejak pagi tadi telah ke hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan manakala pasukan lain menggantikan tugas di lokasi.

Katanya, pihak bomba masih belum dapat mengenal pasti jenis bahan kimia yang dibuang di tempat pembuangan sampah haram itu setakat ini.