KEMENANGAN 3-1 Juventus ke atas Atalanta dalam aksi Serie A Sabtu lalu terpaksa dibayar mahal apabila tiga pemain utamanya mengalami kecederaan dan mungkin terlepas perlawanan Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, Rabu ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kelab tersebut, Matthijss de Ligt, Douglas Costa dan Federico Bernardeschi disahkan mengalami kecederaan dan dijangka tidak sempat pulih untuk diturunkan dalam aksi menentang Atletico.
Kecederaan de Ligt pastinya memberikan keresahan kepada pengendali Juventus, Maurizio Sarri selepas turut kehilangan pertahanan berpengalaman, Giorgio Chiellini yang mengalami kecederaan panjang sebelum ini.
Dalam pada itu, Costa pula mengalami cedera paha pada perlawanan itu yang memaksanya berehat dua minggu manakala Bernardeschi mengalami masalah di otot dada.
"Berdasarkan hasil pemeriksaan perubatan pagi ini... Matthijs de Ligt mengalami kecederaan di bahu dan sedag melalui proses pemulihan.
"Perkara yang sama juga dilakukan kepada Bernardeschi yang mengalami kesakitan di tulang dada kanannya dan Costa juga sedang dirawat ekoran kecederaan paha kanan," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Sarri enggan panik dengan kecederaan yang dialami tiga tonggak utamanya itu, namun menegaskan perlu memikirkan taktikal berbeza berhadapan dengan Atletico nanti.
"Masih ada beberapa pemain yang boleh saya turunkan untuk mengisi posisi ketiga-tiga mereka. Jika tidak mungkin perubahan taktikal perlu dilakukan.
"Namun, saya tidak mahu panik dan percaya Juventus memiliki skuad kedua yang terbaik untuk menghadapi Atletico," katanya.