Takut jarum punya pasal

Iklan
Kaedah pemberian vaksin secara oral dan semburan hidung sedang diteliti berikutan antara faktor ketakutan rakyat mendapatkan vaksin adalah kerana takut kepada jarum suntikan.

SEKALI lagi Mat Taici terpaksa menjalani kuarantin di rumah kerana menjadi kontak rapat rakan sekerja di pejabat penyelia ladang yang disahkan positif Covid-19.

Hari pertama masih boleh bertahan tetapi memikirkan hari-hari berikutnya Mat Taici mula rasa resah dan 'terkurung' ditambah pula banyak tugas hakiki yang masih perlu dibereskan.

Hakikatnya, secara peribadi tidak mudah bekerja dari rumah atau WFH kerana salah satu cabaran utama adalah mudah hilang fokus.

Manakan tidak, niat mahu berehat sebentar bersama Kit Kat selepas beberapa jam menghadap komputer akhirnya disambung pula dengan melayari aplikasi media sosial seperti Facebook dan Tik Tok.

Lepas satu, satu berita dilayari, antara paling menarik perhatian beberapa hari ini adalah kes kematian aktres Thailand, Tangmo Nida yang mencetuskan pelbagai spekulasi bukan sahaja dalam kalangan rakyat negara Gajah Putih itu tetapi juga jabatan netizen Malaysia.

Pelakon itu dikatakan maut akibat lemas selepas terjatuh dari bot namun ramai yang mendakwa kematian Tangmo adalah disebabkan perbuatan khianat rakan baiknya sendiri yang turut berada di dalam bot dinaiki mangsa.

Tidak kurang juga menarik berita di dalam negara sendiri, apabila muncul video tular seorang wanita bergelar 'Kak Long' berasal dari Pantai Timur yang mengamuk di kedai mudah beli dan di restoran makanan segera.

Ramai netizen menghentam percakapan 'kurang ajar' wanita itu dan anak lelakinya. Memang Mat Taici tabik hormat kepada sesiapa yang mampu bersabar melihat telatah dua beranak terbabit.

Cukup dengan berita-berita 'menghiburkan', perhatian Mat Taici tertancap pula dengan satu berita menarik tentang kaedah baharu pemberian vaksin.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Malaysia menerusi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) sedang membangunkan kaedah pemberian vaksin secara oral (melalui mulut) dan semburan hidung (nasal spray).

Katanya di Dewan Rakyat, kaedah pemberian vaksin cara baharu itu sedang diteliti berikutan antara faktor ketakutan rakyat (mendapatkan vaksin) ialah takut kepada jarum suntikan.

Bagi Mat Taici ia usaha yang positif dan sekiranya benar-benar terlaksana kelak bukan sahaja bermanfaat untuk golongan yang takutkan jarum suntikan malah baik juga untuk mereka yang sudah tidak betah lagi disuntik berulang kali.

Manalah tahu di masa depan kita diperlukan untuk mendapatkan lagi dos penggalak maka tidak perlu disuntik cukup sekadar sembur sahaja.

Apa pun, perkara paling utama adalah memastikan kaedah tersebut benar-benar selamat dan berkesan sebelum diperkenal kepada orang ramai.

Kita tidak mahu menyesal di kemudian hari sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Pss - Teringat momen rakan Mat Taici berteriak satu sekolah ketika hari suntikan BCG

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Artikel Tanpa Had Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan dengan
Log Masuk atau Daftar Akaun untuk membaca artikel ini.