Felda kaji keberkesanan projek Perumahan Generasi Baharu Felda

Iklan
Radzi Jidin -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Felda kini menjalankan kajian bagi mengenal pasti keberkesanan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dalam mencapai kehendak generasi kedua tanah rancangan itu.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, menerusi mekanisme tersebut, satu kaedah terbaik untuk menangani masalah melibatkan generasi baharu berkenaan akan dirangka Felda.

Iklan
Iklan

"Kita telah belajar daripada kesilapan lalu tentang perumahan generasi baharu Felda yang tidak dirancang dengan teliti, maka daripada itu Felda sedang melakukan penyelidikan bagaimana hasil projek PGBF mencapai kehendak generasi baharu Felda.

"Selain itu seperti mana yang telah dinyatakan dalam kertas putih Felda apabila perancangan untuk sediakan rumah PGBF diumumkan, tidak ada rancangan teliti dibuat, pemilihan lokasi juga tidak mengambil kira keperluan setempat. Jadi ini adalah antara punca terbengkalainya projek yang dijalankan sebelum ini, selain daripada peruntukan tidak mencukupi,” katanya pada sesi persidangan Dewan Rakyat semalam.

Iklan

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) yang ingin tahu faktor projek PGBF terbengkalai sebelum ini dan perancangan Felda bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Mohd Radzi berkata, tumpuan kerajaan pada masa ini adalah untuk menyiapkan projek perumahan itu yang kini berada pada tahap 70 peratus kemajuan kerja.

Iklan

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan tempoh projek itu akan disiapkan sepenuhnya. - Bernama