SPR kaji tubuh agensi penguatkuasaan khas pilihan raya

Iklan
Azhar Azizan. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti keperluan untuk menubuhkan agensi penguatkuasaan khas pilihan raya yang menggabungkan fungsi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya mengambil maklum cadangan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) itu yang akan melibatkan penggubalan undang-undang baharu atau pindaan akta sedia ada.

Iklan
Iklan

"Dalam SPR sendiri kita ada jawatankuasa (yang) sedang kaji semua peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan akan mencadang untuk mengemaskinikannya. Dalam undang-undang sedia ada penguatkuasaan adalah di pihak polis bagi kesalahan am seperti ucapan kebencian. Di SPRM pula untuk kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

"Sama ada mahu satu agensi khas gabungkan kedua-duanya, kita sedang melihat dan sudah tentu perlu melibatkan penggubalan undang-undang baharu atau pindaan sedia ada,” katanya pada sidang media Program Latihan Commonwealth Election Professional (CEP) di sini.

Iklan

Sementara itu, Azhar berkata, CEP yang julung kali berlangsung di rantau Asia adalah untuk menyokong negara-negara anggota Komanwel dalam melaksanakan pilihan raya yang berwibawa dan berperanan melatih pegawai-pegawai pilihan raya secara profesional.

"Ia dihadiri seramai 19 peserta dari Bangladesh, India, Pakistan, Sri Lanka, Australia dan Malaysia sebagai tuan rumah.

Iklan

"Terdapat lima topik yang dibincangkan dalam program ini iaitu Sistem Pilihan Raya: Mempromosikan Demokrasi Mampan, Pendaftaran Pengundi, Kesaksamaan Gender dan Pilihan Raya, Pendidikan Pengundi dan Pilihan Raya Dalam Era Media Baharu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menguruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak jika Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam tempoh terdekat.

"Kita tidak tahu langsung bila PRN Sarawak akan diadakan tapi semestinya langkah persediaan telah dimulakan. Tak bermakna akan diadakan secepat mungkin tetapi sekretariat kita sudah bersedia,” katanya. - Bernama