SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman percaya Kelantan tidak lagi akan dilabel sebagai pasukan bermasalah dengan mematuhi Program Kawalan Ekonomi (ECP) yang diperkenalkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) musim depan.
ECP yang bertujuan untuk membendung masalah kewangan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dilihat mampu jadi penyelamat kepada kebanyakan pasukan tempatan yang sering dihimpit masalah gaji termasuk Kelantan.
Sebelum ini, skuad kendalian Yusri Che Lah itu berdepan penggantungan lesen kelab disebabkan beberapa masalah kewangan termasuklah tunggakan gaji pemain serta tunggakan pembayaran dengan agensi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Justeru, Husin berharap pendekatan MFL yang melaksanakan ECP bermula musim depan adalah tepat pada masanya untuk Kelantan memulakan musim 2020 dengan azam baharu tanpa dihimpit lagi masalah gaji, sekali gus membersihkan kembali nama The Red Warriors (TRW) daripada kemelut yang tidak sepatutnya.
"Memang kami di pihak KAFA tidak ingin lagi dianggap sebagai pasukan yang selalu berdepan masalah gaji setiap tahun kerana ia cukup memberi kesan kepada prestasi pasukan.
"Bermula musim depan, kami ingin bebas daripada sebarang hutang dan KAFA juga sudah memperoleh lesen kelab untuk kami terus bertanding.
"Yang penting, kami perlu mengeluarkan bajet yang sepatutnya untuk dikemukakan selewat-lewatnya 15 Disember depan dan seandainya lulus, saya harap pasukan akan menghadapi saingan dengan misi baharu tanpa perlu risau masalah kewangan lagi,” katanya.
Terdahulu, MFL telah mengadakan Bengkel ECP kepada semua Rakan Kongsi Liga pada 18 November lalu bagi memberi maklumat terperinci mengenai program berkenaan agar semua pasukan jelas dengan cara perlaksanaannya.
Husin berkata, pihak KAFA sudah sedia maklum mangenai cara perlaksanaan ECP apabila pernah diberi taklimat oleh MFL dan perunding ECP, PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn. Bad (PwC Malaysia) dan mereka sudah bersedia lebih awal untuk memastikan KAFA mampu memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam ECP.
"Inisiatif yang dilakukan oleh MFL untuk mewujudkan program ECP ini sememangnya bagus untuk membantu semua pasukan berbelanja dengan berhemah.
"Apabila saya hadir ke Bengkel ECP, banyak maklumat yang kami sudah perolehi dan saya akan pastikan KAFA dapat mengikuti setiap peraturan yang telah ditetapkan dalam ECP.
"Saya rasa KAFA tidak akan berdepan sebarang masalah untuk kami kemukakan perancangan bajet selepas ini dan saya percaya pasukan Kelantan akan memulakan musim 2020 dengan lebih baik”, jelasnya.