PRU15 perlu diadakan sebelum pemilihan parti
SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan sebelum berlangsungnya pemilihan parti, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata, pemilihan parti perlu diadakan selewat-lewatnya hujung tahun 2022 berdasarkan 18 bulan tempoh penangguhan yang diumumkan sebelum ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan, akan ada perbahasan daripada perwakilan mengenai keperluan untuk mengadakan PRU15 sebelum pemilihan parti dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang bermula Rabu ini.
"Ini kerana ada juga risiko tertentu untuk UMNO jika pemilihan diadakan lebih awal daripada pilihan raya. Sekiranya ada pemilihan tahun ini, lebih 40 peratus kepimpinan sayap UMNO yang terpaksa melepaskan jawatan.
"Mereka dalam sayap parti kebanyakannya adalah ahli baharu yang mungkin akan memakan masa untuk mereka memahami proses dan jentera pilihan raya.
"Dari segi strategi politik, sudah tentu kita mahu yang terbaik untuk negara. Soal tarikh pilihan raya ini mesti ditentukan dan berasaskan kajian sama ada ia baik untuk negara atau tidak, sama ada baik untuk parti atau tidak.
"Barulah kita fikirkan baik untuk pemimpin atau tidak. Walaupun sekarang banyak perbezaan pandangan, bila parti membuat keputusan nanti, saya kira semua orang akan berdiri di belakang keputusan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Edisi ke-329 yang bertajuk 'UMNO, Kepercayaan Rakyat dan PRU15' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis, penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian dan Ketua Puteri UMNO Negeri Sembilan, June Arthisha Mohamad Nazari manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, kemelut politik ketika ini berlaku apabila punca kuasa dalam kerajaan tidak sama dengan di peringkat parti.
"Kita ada Perdana Menteri yang bukan Presiden UMNO dan Presiden UMNO yang bukan Perdana Menteri.
"Komposisi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang seelok-eloknya adalah diwakili oleh menteri atau pembuat dasar kerajaan. Jika pemilihan parti dibuat dahulu, kita belum tahu lagi sama ada yang menang itu akan menjadi menteri.
"Jadi, nanti akan ada lagi pergeseran atau jurang antara kerajaan dengan parti. Sebab itu, kalau pilihan raya dahulu, kita akan tahu siapa Perdana Menteri, timbalan dan menteri kanan yang seeloknya menjadi sebahagian daripada komposisi MKT. Maka, parti akan lebih stabil,” ujar beliau.