Agong letak jawatan: Rakyat terkejut, tertanya-tanya

Iklan
Sultan Muhammad V

SHAH ALAM - Rakyat terkejut dengan keputusan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa hari ini dan pastinya tertanya-tanya apakah punca baginda mengambil keputusan sedemikian.

Begitupun, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, tidak mungkin rakyat dapat mengetahui punca sebenar baginda meletakkan jawatan.

Iklan
Iklan

[ARTIKEL BERKAITAN: Agong letak jawatan]

"Mestilah menimbulkan tanda tanya (Agong meletak jawatan). Ini kali pertama dalam sejarah negara kita Yang di-Pertuan Agong tidak menghabiskan tempoh pemerintahan baginda.

Iklan

"Yang lain itu maksudnya mangkat ketika ketika menjawat jawatan tapi ini meletakkan jawatan dalam tempoh perkhidmatan, ini kali pertama.

"Sudah tentu rakyat nak tahu sebabnya tapi mungkin kita tidak akan dapat tahu sebabnya yang sebenar. Khabar angin mungkin ada tapi mengetahui sebabnya secara rasmi, saya fikir tidak mungkin,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Dalam pada itu, Kok Seong tidak menolak kemungkinan pendedahan perbelanjaan Istana Negara dan penularan gambar kahwin Sultan Muhammad mungkin mempengaruhi keputusan baginda.

"Nak kata tiada pun, kemungkinan itu ada. Dua tiga hari lepas pun ada orang bercakap Yang di-Pertuan Agong nak letak jawatan. Orang kata khabar angin tapi hari ini dah jadi kenyataan.

"Sebelum ini, Kadir Jasin buat, itu bukan khabar angin sebab beliau ada beri bukti, menularkan satu akaun. Yang berkahwin itu pula, pihak istana tidak pernah nafikannya dan tidak mengiyakannya.

"Maksudnya pihak istana berdiam diri sahaja. Jadi, tanda tanya itu semakin kuat,” ujarnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ungkapan 'sila duduk, jangan lari' pasti dikenang]

Tambah beliau, sebagai anak Kelantan, beliau mengakui berasa sedih dengan keputusan Sultan Muhammad dan beliau percaya ramai anak Kelantan lain turut berkongsi perasaan sedih bersamanya.

"Bila Yang di-Pertuan Agong datang dari Kelantan, kami rasa bangga. Kelantan walaupun miskin dari ekonomi tapi Kelantan dapat sumbang sesuatu dalam bentuk Yang di-Pertuan Agong dari negeri ini.

"Saya rasa semua rakyat Kelantan sedih dengan keputusan ini. Baginda telah menjalankan tugas dengan baik, yang penting tiada kontroversi apa pun semasa baginda memerintah.

[ARTIKEL BERKAITAN: Agong letak jawatan bukan perkara biasa: Annuar]

"Baginda juga dilihat sebagai satu simbol Islam,jadi rakyat terkejut besar dengan keputusan ini,” jelasnya.

Sultan Muhammad meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa semalam seperti diumumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz melalui kenyataan media Istana Negara.