Tender pertanian RM1.4 bilion bukan skandal, kata Salahuddin

Iklan
Salahuddin (dua dari kanan) merasmikan Kongres Benih Asia 2019 di sini hari ini.

KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan isu pemberian projek membabitkan kementerian itu bernilai RM1.4 bilion secara rundingan terus bukan satu skandal.

Beliau berkata, dana berkenaan masih berada di Kementerian Kewangan dan bukan masuk ke akaun lain seperti yang berlaku dalam beberapa skandal di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Iklan
Iklan

"Saya sudah jelaskan, apa yang dilakukan itu masih dalam prosedur ditetapkan. Ia bukan skandal. Kalau skandal ini, skandal Tabung Haji, FGV (FGV Holdings Berhad) dan 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

"Duit itu masuk ke dalam akaun peribadi atau akaun sesiapa. Namun, ke mana pergi peruntukan RM1.4 bilion itu? Ia masih dalam Perbendaharaan, yang kita yakin akan diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas). Itu saja,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Benih Asia 2019 di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Haslina Abdul Hamid.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meminta pengesahan dalam Dewan Rakyat mengenai seorang menteri menulis surat sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Iklan

Beliau mempersoalkan pemberian projek pembekalan input pertanian sektor padi kepada Nafas melibatkan peruntukan RM1.4 bilion dan mendakwa ia diberi secara rundingan terus walaupun tewas dalam tender terbuka.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, tidak salah untuk menulis surat sokongan kerana tender itu belum diputuskan dan akhirnya ia akan memberi manfaat kepada Nafas dan bukan dirinya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh bahawa salah dari segi moral untuk menteri mengagihkan projek susulan kenyataan Perdana Menteri berhubung perkara itu, Salahuddin berkata, kenyataan Dr Mahathir itu tidak boleh diambil di luar konteks.

"Saya ada bersama Tun (Dr Mahathir) ketika itu dan dalam Kabinet pun diberikan penjelasan. Menteri hanya layak untuk tahu. Menteri berhak untuk panggil KSU, bagaimana projek diberikan dan jika boleh persoalkan, Menteri akan minta isu spesifik mungkin berlaku. Itu maksud Tun.

"Menteri tidak terpisah. Menteri tetap ada pembabitan, komitmen dan tanggungjawab untuk memastikan semua tender itu berjalan dengan baik lagi telus di bawah Pakatan Harapan (PH).

"Saya tidak nampak apa yang dikatakan Tun itu seolah-olah Menteri juga boleh anugerahkan tender. Itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Sementara mengenai dakwaan disabotaj oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementeriannya berhubung isu tender itu, Salahuddin enggan mengulas mengenai isu tersebut.

"Jika ada reaksi luaran, saya rasa kita serahkan kepada pihak bertanggungjawab menyiasat atau memberikan komen. Bukan saya orangnya untuk memberikan maklum balas,” katanya.

Diminta mengulas sama ada kementeriannya melakukan siasatan dalaman mengenai dakwaan sabotaj itu, Salahuddin sekali lagi menegaskan, siasatan hanya perlu jika wujudnya skandal.

"Tiada skandal pun. Harmoni saja di Kementerian itu. Tiada salah laku, tiada apa berlaku,” katanya.

Ditanya sama KSU Kementerian, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan bakal dikenakan tindakan berikutan dakwaan sabotaj itu, Salahuddin berkata, beliau tidak tahu mengenainya dan soalan itu perlu diajukan kepada Ketua Setiausaha Negara.

Dalam pada itu, Mohd Sallehhuddin tidak hadir pada program yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu.