FOKUS - SEMASA Awas sindiket, tali barut PATI

Iklan
Antara PATI yang cuba menceroboh negara ditahan Briged Tengah PGA menerusi Ops Nyah 1 pada tahun ini.

Polis dedah pelbagai helah digunakan sindiket untuk seludup PATI ke Malaysia

SHAH ALAM - Sindiket dan tali barut yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) diberi amaran keras untuk segera menghentikan sebarang cubaan menyeludup masuk migran.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Deputi Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, sindiket penyeludupan PATI akan menggunakan pelbagai helah untuk menceroboh masuk ke Malaysia ketika negara memasuki perali­han­ fasa ke endemik pada 1 April.

Jelas Muhammad, pihaknya menjangkakan akan berlaku kekerapan pencerobohan masuk oleh sindiket yang membawa PATI dalam tempoh itu ekoran pembukaan semua sektor pekerjaan di Malaysia dan faktor ekonomi yang teruk di negara asal PATI.

"PATI ini akan cuba masuk ke Malaysia dan perkara ini menjadi faktor tekong atau ejen sindiket mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menyeludup masuk PATI melalui laluan tidak sah.

"Polis tidak tolak kemung­kinan­ ada PATI sanggup membayar RM1,300 ke RM1,500 seorang untuk masuk ke Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas modus operandi sindiket terbabit, Muhammad mendedahkan, PATI yang dibawa masuk akan dibahagikan dalam jumlah kecil sekitar tiga hingga lima orang ke bot nelayan tempatan­ bergantung kepada keluasan bot terbabit.

Ujarnya, pemindahan itu dilakukan di sempadan perairan Indonesia-Malaysia dan akan berada beberapa hari di lautan untuk melakukan kerja sebagai nelayan.

"Ini bagi mengaburi pihak berkuasa. Mereka ini akan berada di lautan sekitar tiga hingga empat hari dan boleh mencecah sehingga satu minggu sebelum balik ke pangkalan,” jelasnya.

Tambah beliau, sepanjang tempoh tahun ini bermula Januari sehingga 29 Mac, Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Ops Nyah 1 berjaya menahan 233 individu terdiri daripada 229 PATI dan empat warga tempatan di Selangor dan Johor.

Menurut Muhammad, pihaknya turut merampas lima buah kenderaan, telefon bimbit selain wang tunai yang keseluruhan berjumlah RM102,660.

Tegasnya, tindakan telah diambil ke atas suspek di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Artikel Tanpa Had Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan dengan
Log Masuk atau Daftar Akaun untuk membaca artikel ini.