Hiburan patuh syariah, Terengganu bukan 'negeri taliban'

Iklan
Satiful Bahri Mamat

KUALA TERENGGANU - Garis panduan berkaitan hiburan, kebudayaan dan pelancongan yang akan diwarta tahun depan tidak akan memberi imej negatif kepada Terengganu kononnya seperti ‘negeri taliban’.

Exco Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahari Mamat berkata, sebaliknya garis panduan itu akan melonjakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu kerana menonjolkan keunikan hiburan dan budaya yang patuh syariah.

Iklan
Iklan

"Takkan timbul persepsi negatif seperti itu apabila Terengganu melaksanakan garis panduan berkenaan...pelancong datang ke Terengganu ini bukannya nak buat maksiat sebab tempat asal mereka lebih bebas nak buat apa sahaja maksiat.

"Pelancong datang ke Terengganu sebab nak tengok persekitaran (alam semula jadi), budaya negeri kita...apa yang istimewa ada di negeri kita yang duduk dalam keadaan memenuhi tuntutan Islam," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) yang ingin tahu apakah impak garis panduan itu kepada sektor pelancongan dan pemain industri dalam sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Rozi Mamat (BN-Telemong) mengenai pandangan kerajaan Terengganu berhubung aktiviti senamrobik secara terbuka pula, Satiful berkata Terengganu tidak mengekang aktiviti tersebut namun ada beberapa penambahbaikan perlu dilakukan seperti kedudukan lelaki dan wanita ketika ia berlangsung.

Iklan

"Sebab itu kita galakkan agar lebih ramai jurulatih lelaki mengajar senamrobik ini...untuk wanita pula mereka boleh menjalankan aktiviti itu di kawasan tertutup," katanya.

Dalam perkembangan lain Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, Terengganu berjaya merekod jualan sebanyak RM1.064 juta melalui Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2019.

"Dalam Pameran MATTA yang pertama pada Mac, hasil jualan ialah RM708,501 manakala dalam penyertaan kedua pada September, hasil jualan ialah RM355,189.

"Selain itu banyak promosi dibuat termasuk secara bersepadu melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu dan Johor...kita optimis lebih ramai pelancong akan datang ke Terengganu sempena Tahun Melawat Malaysia 2020," katanya. - Bernama