Apa kisah gadis material dan pensyarah T20

Iklan
Sebelum ini tular seorang pensyarah yang digelar sebagai 'pensyarah T20' kerana tidak betah duduk bersama pelajar golongan B40 dan menghina pelajarnya yang tidak mempunyai komputer riba.

Belajar bertimbang rasa sesama manusia kerana kita tidak akan selamanya berada di atas - Mat Taici

SETELAH beberapa hari Mat Taici berehat untuk menenangkan minda dan membuat persediaan untuk bulan puasa, hari ini Mat Taici kembali lagi untuk membicarakan soal-soal panas di media sosial yang semua perlu tahu.

Tipulah kalau kita sebagai rakyat Malaysia tidak tahu cerita mengenai seorang pensyarah universiti awam yang menghina seorang pelajar B40 kerana tidak mempunyai komputer riba yang diperlukan untuk subjek yang diajar.

Mat Taici tidak terkejut pun ada pihak yang menyokong pensyarah ini dengan persepsi pelajar itu perlu mengutamakan pelajaran dan berusaha mencari jalan untuk mendapatkan sebuah komputer riba yang menjadi keperluan.

Mungkin golongan seperti ini belajar dahulu pun atas duit ibu bapa yang ada ‘kabel’ dan sarapan air oren setiap hari tanpa memikirkan beban hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kelak.

Oleh itu, agak mustahil mereka memahami nasib golongan-golongan B40 yang hendak makan pun kena ikat perut untuk membeli barang keperluan pelajaran.

Dari segi pensyarah T20 itu sendiri, Mat Taici tertanya-tanya adakah apabila seseorang itu lebih tua dari kita atau berjawatan tinggi membolehkan seseorang itu menghina orang lain? Apa kriteria untuk menjadi seorang pendidik di Malaysia ini? Adakah dengan hanya memiliki segulung ijazah semata-mata?

Sebagai pendidik, dia perlu lebih mendalami situasi pelajar yang susah daripada menyindir pelajar tersebut di khalayak serta menyuruh ahli keluarga pelajar itu untuk menjual gelang emas demi sebuah komputer riba.

Mat Taici pelik apabila pensyarah itu mengatakan dia seolah-olah tidak suka mengajar golongan B40 ini. Bukankah UiTM ini sebenarnya sebuah institusi yang memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk belajar?

Atau sebenarnya... zaman sudah berubah? Adakah anak golongan kayangan juga boleh mendapat tempat sewenang-wenangnya di universiti itu asalkan ada ‘kabel’?

Baru-baru ini pula hangat satu Malaysia apabila seorang ‘influencer’ yang juga merupakan pelajar jurusan undang-undang di universiti terbabit mampu menaiki penerbangan kelas pertama dari London ke Dubai dengan merujuk situasi itu sebagai ‘self reward’ buat dirinya selepas meraih keputusan peperiksaan akhir yang cemerlang.

Rata-rata ramai netizen di Twitter mengecam individu itu kerana mustahil seorang pelajar UiTM yang membayar yuran RM400 satu semester mampu untuk bercuti dan menaiki kapal terbang kelas pertama yang didakwa mencecah RM30,000.

Walau bagaimanapun, individu terbabit sudah menerangkan bahawa dia bukan berasal daripada keluarga yang mewah dan memasuki universiti itu semasa dia mengambil kerja sambilan sebagai model dan membuat kempen untuk jenama-jenama terkenal di media sosial.

Namun, dia tidak boleh menyalahkan orang ramai yang melihat dirinya sebagai ‘golongan kayangan’ kerana gaya hidup yang dia tunjukkan kepada semua di media sosial itu sangat mewah dan pelik sekiranya dia melabelkan dirinya sama seperti golongan B40 yang lain.

Kalau diikutkan logik, sebagai seorang ‘influencer,’ tidak hairan pun dia boleh membeli tiket yang lebih mahal daripada harga sebuah komputer riba itu. Namun, apa membuatkan kebanyakan netizen berasa geram adalah jika dia seorang yang berlatar belakangkan keluarga yang mewah, mengapa perlu belajar di universiti awam yang dikhususkan untuk golongan B40?

Cuba bayangkan, berapa ramai pelajar yang mahu masuk ke universiti awam itu kerana yuran yang rendah berbanding universiti lain tetapi kuotanya tidak mencukupi kerana adanya golongan-golongan seperti ini yang merampas hak orang lain dengan menggunakan kad Bumiputera.

Berapa ramai anak-anak muda dari luar bandar yang terpaksa membanting tulang dan mengumpul wang demi membayar yuran atau membeli sebuah komputer riba walhal ada sahaja segelintir pelajar yang membayar yuran yang sama harganya tetapi bercuti dengan tiket kelas pertama bersama teman lelaki yang juga merupakan anak kelas bangsawan.

Mat Taici rasa sudah sampai masanya kita membuka mata dan belajar memahami situasi orang terutamanya golongan B40. Bagi mereka yang bernasib baik, jangan ambil hak mereka yang lebih memerlukan dan belajar bertimbang rasa sesama manusia kerana kita tidak akan selamanya berada di atas jadi sudi-sudi lah memandang ke bawah.

Pss: Mat Taici pun lulusan universiti itu juga tetapi nak beli tiket bas balik raya pun kena kumpul duit apatah lagi komputer riba...

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Artikel Tanpa Had Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan dengan
Log Masuk atau Daftar Akaun untuk membaca artikel ini.