SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin menegaskan isu pemecatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid tidak ada kaitan dengan ketidakhadirannya dalam mesyuarat Biro Politik dan MPP parti itu.
Sebaliknya, beliau mendakwa pemecatan berkenaan tidak mengikut proses yang sewajarnya.
"Isu yang saya utarakan amat jelas dan mudah, pemecatan ini tidak mengikut proses wajar. Soal saya hadir atau tidak ke mesyuarat parti tidak relevan untuk dibincangkan atas isu ini.
"Apa pun status kehadiran saya dalam mesyuarat tidak sama sekali harus menjejaskan prinsip Keadilan yang perlu dilaksana atas anggota parti. Saya Naib Presiden parti, bukanlah Hakim Agung parti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil seolah-olah tidak memahami isu yang diperkatakan.
"Saya sudah membaca respons diberikan (Fahmi Fadzil), mengulas kritikan yang saya lontarkan berhubung isu pemecatan Zakaria, semalam.
"Penjelasan diberikan pegawai lantikan ini terlalu mentah dalam mengulas isu politik dan berdasarkan kenyataannya itu, jelas beliau tidak memahami isu yang saya utarakan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Rasuah: Dua ahli PKR Pahang dipecat serta-merta
Zuraida semalam dikritik kerana gagal memahami punca Zakaria dipecat.
Fahmi dalam kenyataannya berkata, Zuraida sebagai orang nombor tiga parti pasti akan faham keputusan pemecatan itu sekiranya beliau tidak culas dalam menghadiri mesyuarat yang dibuat parti.