TAIPING - Seramai 21 penunggang motosikal diarah polis untuk menolak kenderaan mereka sejauh dua kilometer (km) selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan pada Operasi Bersepadu Khas Samseng Jalanan di sini semalam.
Kesemua mereka perlu menolak motosikal dari Taman Tasik Taiping ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping sambil diiringi oleh anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT).
Operasi yang bermula pada jam 6 petang dan berakhir pada jam 9 malam itu turut melibatkan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPD Taiping.
Ketua Polis Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, sebanyak 21 motosikal disita dan 102 saman telah dikeluarkan terhadap penunggang serta pemandu kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan.
Menurutnya, dalam tempoh tiga jam itu, sebanyak 70 motosikal dan dua kenderaan telah diperiksa.
"Polis turut memeriksa 73 individu dan menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang didapati positif dadah menerusi ujian air kencing dijalankan.
"Sebanyak 101 saman POL 257 dan satu saman POL 170A dikeluarkan terhadap penunggang dan pemandu kenderaan membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya yang dikesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha membendung gejala samseng jalanan yang boleh mengganggu pengguna jalan raya lain di daerah itu.