Laksa pun RM8 sebungkus!
Mat Taici kata kalau rasa mahal tidak perlu beli, kalau rasa mampu silakan.
MASUK hari ke-11 berpuasa barulah Mat Taici tergerak hati mahu membeli juadah di bazar Ramadan berdekatan kawasan rumah itu pun setelah puas dipujuk seorang rakan.
Seperti dijangka punyalah ramai umat manusia yang datang mencari juadah berbuka sampai ruang berjalan pun jadi sempit namun itulah kebiasaan setiap kali ada bazar Ramadan.
Bagi Mat Taici tujuan datang ke bazar hanya untuk membeli sate ayam dan air tembikai, sedang asyik memikirkan enaknya berbuka nanti tiba-tiba terdengar rakan Mat Taici mengeluh.
"Baru beli nasi bungkus, air dan kuih sudah habis RM20, memang harga semua naik sekarang,” katanya.
Laksa pun RM8 sebungkus, keluhnya.
Mat Taici hanya angguk kepala, malas mahu melayan bebelannya. Pada Mat Taici soal sama ada mahal atau murah makanan yang dijual di bazar Ramadan ini bukan perkara baharu.
Daripada sisi peniaga, mereka menanggung kos beli bahan, kos memasak, upah pekerja dan lain-lain kos lagi, jadi logiknya jual harus ada untung untuk balik modal.
Sementara para pembeli pula sekiranya harga jual terlalu mahal dan tidak berbaloi dengan saiz atau kuantiti pastinya akan berasa tertipu.
Masing-masing ada pendapat dan pandangan sendiri, bagi Mat Taici mudah sahaja. Kalau rasa mampu membeli maka belilah, kalau rasa mahal sangat tidak perlu beli.
Lagi satu, belilah dengan bijak dan berpada-pada bukannya membeli ikut nafsu dan menjadi pembaziran, jangan sampai hilang keberkatan berpuasa kita.
Tetapi sekarang memang sudah trend, bila tidak puas hati termasuklah tentang harga juadah tak masuk akal di bazar Ramadan, semua pakat ‘post’ di media sosial.
Tengok sajalah isu nasi Arab Chef Ammar yang dikatakan mahal, harga ‘Tel Aviv’ sampai naik angin orang tu dibuatnya. Netizen pula ada yang mengecam dan tidak kurang ada yang 'back up' walaupun mahal tetapi sedap.
Tidak perlu pun gaduh, kalau rasa mahal tidak perlu beli, kalau rasa mampu silakan.
Tetapi pokoknya, wajarkah berbalah tentang makanan di bulan yang mulia sedangkan ramai lagi di luar sana tidak ada langsung makanan untuk dimakan?
Renung-renungkanlah, bukanlah Mat Taici mahu berlagak alim tetapi harapnya selepas ini masing-masing muhasabah diri dan cuba perbaiki mana-mana yang kurang.
Lagi satu, Mat Taici tidak hairan sangat dengan harga makanan di bazar tapi hairan dengan harga sebuah jeti kayu di Sarawak yang menelan kos hingga RM50,000, ini lagi tak masuk dek akal.
Hujahnya, jeti sepanjang 15 meter itu menggunakan kayu belian namun kalau dilihat kepada rupa jeti tersebut, rasa tidak wajar pula dengan kos yang terpaksa dibelanjakan.
Macam-macam hal betul perihal harga tidak masuk akal ini!
Pss: Mat Taici paling pantang kalau terbeli karipap inti oksigen