PUTRAJAYA -"Terima kasih yang tak terhingga buat adik Insyhirah, staf GSC Alamanda yang bantu saya menjadi 'ejen Ali' tadi sampai dapat balik telefon bimbit saya." Itu luahan seorang wanita apabila tertinggal telefon pintarnya di dalam tandas ketika menonton wayang bersama empat anaknya.
Dikenali Ummu Ahmad, perkongsian itu dimuat naik di Facebook miliknya hingga tular di laman sosial.
Lima beranak itu sedang menonton wayang sebelum salah seorang anaknya hendak pergi ke tandas.
Namun ketika kembali semula ke wayang, wanita itu baru menyedari telefonnya tertinggal di dalam tandas.
"Masa nak duduk baru teringat telefon tertinggal kat dalam tandas tadi. Pesan dekat anak-anak mak nak ke toilet balik.
"Bila sampai tandas yang saya pakai tadi ada orang. Elok orang tu keluar, saya terus tanya ada ternampak tak telefon tertinggal kat belakang tu. Rupanya staf GSC.
"Dia kata tak ada, saya terus dah gelabah telefon hilang dah. Adik tu tanya saya kak pakai telefon apa?. Saya kata iphone. Dia keluarkan telefon dia juga iphone," tulisnya.
Menurutnya, dia menggunakan aplikasi mengesan telefonnya dan ternyata lokasi masih berada di Alamanda, Putrajaya.
"Berlaku adegan kami mengejar, kata adik tu, kita kena cepat sebelum individu itu membawa keluar dari Alamanda. Arah aplikasi 'find my iphone' menunjukkan telefon berhenti di sebuah restoran makan segera.
"Dah macam dalam cerita Hindustan kami dua orang berlari naik eskalator, mengelak orang ke kiri ke kanan, sampai la kami sampai betul-betul depan lokasi yang ditunjukkan.
"Saya pun tekan button beeping my iphone. Rupanya kakak yang berdiri di belakang saya yang menyimpan telefon saya tu. Muka kakak tu dah berubah bila iphone saya 'menjerit-jerit' dari dalam beg tangan dia," luahnya.
Menurutnya, telefon itu berjaya dikembalikan dan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan GSC Alamanda yang sungguh berdedikasi kerana membantunya.
"Terima kasih yang tak terhingga buat adik Insyhirah, staf GSC Alamanda yang bantu saya menjadi ejen Ali tadi sampai dapat balik hp saya," katanya.
Sehingga kini kisah itu meraih lebih 1,300 tanda suka dan 1,400 perkongsian dari netizen.
Netizen juga berharap agar staf GSC itu menerima penghargaan dari majikannya di atas pertolongan itu dan rata-rata memuji tindakan staf tersebut.