Tanah mendap punca Myvi jerlus dalam lubang

Iklan
Kerja-kerja baik pulih paip yang bocor dan penurapan semula permukaan jalan dilaksanakan oleh kontraktor Syabas.

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti kejadian sebuah kereta terjerlus ke dalam lubang di Jalan Maharajalela menghala ke Jalan Loke Yew, lewat malam tadi berpunca daripada mendapan tanah.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporatnya, Khairul Azmir Ahmad berkata, mendapan itu berlaku disebabkan paip air bawah tanah milik Kumpulan Air Selangor, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pecah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan mengeluarkan kereta yang terperosok ke dalam mendapan tersebut dilaksanakan DBKL dengan bantuan agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kerja baik pulih paip yang bocor dan penurapan semula permukaan jalan dilaksanakan oleh kontraktor Syabas.

Iklan

"Keadaan telah dibaik pulih seperti sediakala tengah hari tadi," katanya.

Sebelum ini, sebuah kereta Myvi terjerlus ke dalam lubang yang terjadi akibat tanah mendap di laluan Jalan Maharajalela menghala ke Jalan Loke Yew di sini malam tadi.

Iklan

Dalam kejadian sekitar jam 11.35 malam itu, kenderaan jenis Perodua Myvi ketika itu dipandu seorang wanita berusia 42 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, mendapan tanah terjadi seluas tiga meter persegi.

Kejadian itu bagaimanapun tidak mencederakan pemandu berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Myvi terperosok dalam lubang mendap