Tuan punya badan perlu jawab segera

Iklan
DR MOHD KHAIRUDDIN

Mohd Khairuddin harap pemimpin Pas akan tampil nafikan dakwaan terbabit

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, menggesa pemimpin Pas terbabit dengan dakwaan wujud gerakan terancang untuk mempercepatkan usaha memenjarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya tampil memberikan penjelasan sewajarnya.

Mohd Khairudddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai pendedahan itu kerana ia memerlukan pengesahan daripada pemimpin terbabit sendiri.

"Perkara sebegini perlukan pengesahan daripada tuan punya badan. Tak wajar untuk kita ulas perkara tular. Dunia ini penuh pembohongan dan rekaan persepsi untuk mengelirukan rakyat. Saya menolak politik persepsi dan rekaan cerita.

"Saya perjuangkan politik sejahtera, tanpa adu domba, fitnah dan cipta persepsi. Rakyat berhak dapatkan penjelasan daripada tuan punya badan. Apa pun hak ahli-ahli politik untuk berbincang dengan mana-mana pihak sebagai rentas parti. Kalau Pas dan UMNO adakan perbincangan, itu satu perkara biasa dalam hubungan politik," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Khairuddin berkata demikian ketika mengulas pendedahan dibuat oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menerusi hantarannya di Facebook berhubung penularan dokumen dipercayai minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang mana tercatit beberapa pelan atau gerak kerja untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk Zahid dan Najib.

"Segera memenjarakan Presiden dan bekas Presiden UMNO. Tindakan ke atas Timbalan Presiden UMNO. Menolak pindaan perlembagaan Umno untuk pemilihan parti hanya selepas PRU. Juga merancang supaya MoU 2.0 diadakan bagi melambatkan PRU.

"Ini antara kandungan dokumen yang tular sejak kelmarin. Oleh kerana ia melibatkan kepimpinan parti yang bersama kerajaan, elok ada penafian segera sekiranya ia tak benar," katanya dalam hantaran itu hari ini.

Berikutan itu, Ahmad Shabery menggesa individu yang terlibat dalam dokumen tular berhubung gerakan menjatuhkan UMNO termasuk pemimpin parti itu, tampil membuat penafian sekiranya ia tidak benar.

Ahmad Shabery berkata, isu tersebut adalah seakan-akan ‘Watergate skandal’ pengintipan di Amerika Syarikat tahun 1972.

"Wikileak ialah pendedahan dokumen-dokumen sulit antarabangsa sejak tahun 2006. Apakah akan wujud Pasleak pula kalau tidak ada penafian dari Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) sebagai tokoh penting dalam dokumen ini?

"Tahun 2022 ada kod tersendiri. 2+0+2+2 = 6. Kalau di Terengganu, istilah ‘berat 6 6’ ada makna yang besar," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, menegaskan beliau tidak tahu menahu mengenai kewujudan dokumen terbabit.

"Maaf saya tak ada info mengenai hal ni," katanya ketika dihubungi Sinar Premium pada Rabu.

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Artikel Tanpa Had Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan dengan
Log Masuk atau Daftar Akaun untuk membaca artikel ini.