AMK Selangor nafi sokong mesyuarat iktiraf Azmin rasmi kongres

Iklan
Mohamed Azmin. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menegaskan pihaknya tidak pernah bersetuju dan menyokong mesyuarat yang dilakukan sekumpulan anggota sayap parti itu di Shah Alam pada Rabu lalu.

Pengarah Komunikasi AMK Selangor, Mohd Khairool Ngadon berkata, mesyuarat yang menggunakan nama AMK itu tidak mendapat persetujuan keseluruhan pimpinan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Timbalan Ketua AMK Selangor, Mohd Shah Rezza juga tidak pernah membuat kenyataan menyokong mesyuarat berkenaan dan tidak berada di lokasi mesyuarat tersebut diadakan.

"Tindakan mereka ini jelas sekali tidak beretika dan menampakkan betapa terdesaknya usaha untuk menunaikan keinginan individu tertentu supaya dapat merasmikan Kongres Nasional AMK.

Iklan

"Kami ingin menegaskan pendirian 16 Ketua AMK cabang di Selangor tidak menggambarkan pendirian keseluruhan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan untuk memilih perasmi kongres telah sebulat suara dicapai melalui muzakarah Majlis Pimpinan Pusat AMK.

Iklan

"Maka keputusan ini mestilah dipertahankan dan bukan dipertikai dengan cara yang tidak beretika.

"AMK Selangor menyokong sepenuhnya perasmian Kongres Nasional AMK oleh mantan Presiden PKR sebagai tanda penghargaan kepada beliau yang pernah memacu parti sehingga mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU14) lalu," katanya.

Terdahulu, 20 November lalu, Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham memanggil mesyuarat berasingan tanpa persetujuan sah daripada Majlis Pimpinan Pusat AMK di Shah Alam.

Menerusi mesyuarat itu, Hilman turut menyatakan pendirian meneruskan perasmian Kongres Nasional AMK yang akan berlangsung di Melaka pada 5 Disember ini dengan dengan perasmian oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Isu perasmi kongres terbabit menjadi kontroversi selepas jemputan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dibatalkan dan diganti dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.