‘Maafkan saya andai mengguris hati’
JOHAN JAAFFAR: YB dinobatkan sebagai Wanita Paling Berpengaruh di CEO Summit, Singapura pada tahun 2018. Dalam ucapan, YB ada menyatakan harapan untuk memperkasakan wanita khususnya di Malaysia dalam proses membuat perubahan demi Malaysia yang lebih baik dan progresif. Adakah YB berpuas hati dengan pencapaian wanita Malaysia setakat ini?
NURUL IZZAH: Daripada dahulu, saya mendesak agar agenda keupayaan wanita termasuklah perlindungan untuk kanak-kanak itu diarusperdanakan sebagai agenda utama kabinet dan pentadbiran, seolah-olah merentasi kementerian dan kerajaan. Agendanya adalah untuk mengangkat semua golongan termasuklah golongan rentan kerana itu di bawah portfolio wanita.
Akhirnya, mungkin hasil daripada pandangan ramai dan kelemahan daripada peringkat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sendiri, kerajaan telah mengumumkan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi mengutamakan kebajikan golongan rentan. Pada saya, itu mungkin dalil utama ia diwujudkan, namun kita bersyukur ia diangkat.