Tok mudin moden mula sibuk bila tiba musim cuti sekolah

Iklan
Gambar hiasan

MINGGU ini secara rasmi bermula musim cuti persekolahan akhir tahun. Selain ramai yang sudah merancang percutian bersama anak-anak, tidak ketinggalan juga yang mahu mengkhatankan anak-anak mereka.

Ketika inilah tok mudin moden mula sibuk dengan tempahan berkhatan di klinik atau pusat perubatan masing-masing. Doktor atau pembantu perubatan itu mendapat jawatan sementara setiap kali musim cuti sekolah dan tugas mengkhatankan pesakit cilik itu menjadi rutin baharu mereka.

Iklan
Iklan

Sabtu lepas, Merak Jalanan ke klinik berhampiran rumah untuk dapatkan ubat demam. Merak Jalanan lihat ramai ibu bapa membawa anak-anak mereka untuk berkhatan cara moden.

Bila ditanya kenapa memilih klinik perubatan berbanding tok mudin tradisional, alasannya ialah kerana kaedah moden itu cepat dan mudah sembuh. Betul juga alasan mereka kerana di zaman digital ini berapa kerat sangatlah ada tok mudin tradisional.

Iklan

Kalau ada pun mungkin di ceruk-ceruk kampung. Orang zaman sekarang semua benda nak cepat, nak mudah dan sanggup bayar lebih sedikit asalkan berbaloi.

Merak Jalanan teringat lagi ketika berkhatan dengan tok mudin kampung dahulu. Beralaskan batang pisang, gunting dan jarum jahitan antara peralatan asas berkhatan cara lama. Sakit ketika si anu kena suntikan boleh mengalir air mata. Proses nak sembuh pula ambil masa lama. Paling kurang dua ke tiga minggu dan sepanjang tempoh itu jugalah kain pelikat jadi pakaian rasmi siang sampai ke malam. Menu rutin pula nasi putih dan ikan masin. Ubat luka berwarna kuning menjadi sapuan wajib setiap hari.

Iklan

Kisah berkhatan zaman moden lain sangat. Sudahlah proses berkhatan cepat, tak sakit sangat dan tempoh kesembuhan pun paling lama dua minggu sahaja.

Minggu kedua dah boleh sarung seluar dan sepak bola di padang.

Alahai beruntungnya kanak-kanak zaman sekarang bila dunia sudah berubah.