Tiga pulau buatan musnahkan ekosistem laut

Iklan
Jangkaan hasil kemerosotan ekologi marin daripada projek PSR juga jelas dinyatakan dalam Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

GEORGETOWN - Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menolak projek Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR) kerana bimbang akan memusnahkan ekosistem dan hidupan marin tempatan.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, Jabatan Perikanan mendedahkan tambak laut itu akan mengganggu kawasan pembiakan, pembesaran ikan dan laluan utama udang kecil yang boleh menjejaskan bilangannya.

Iklan
Iklan

"Jangkaan hasil kemerosotan ekologi marin daripada projek PSR juga jelas dinyatakan dalam Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek itu seperti yang dijelaskan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddih Ayub iaitu kehidupan 4,996 nelayan akan terjejas dan kini ada 1,442 nelayan tradisional Zon A.

"Beliau juga menganggarkan sebanyak 51,184 tan metrik hasil tangkapan marin bernilai RM555 juta setahun dan 511 petani akuakultur menghasilkan 45,742 tan metrik ikan marin bernilai RM1.67 bilion turut akan terganggu dengan projek ini," katanya pada sidang media di sini semalam.

Iklan

Menurutnya, ia tidak termasuk hasil yang diperoleh dari operasi perikanan rekreasi di kawasan projek yang dianggarkan bernilai RM5.3 juta setahun.

"Mengecilkan PSR masih boleh menjejaskan ekosistem alam sekitar yang sensitif selain kesan sampingan serius kepada sosio-ekonomi.

Iklan

"Memusnahkan sumber perikanan kita yang amat berharga dan penting untuk jaminan keselamatan makanan bagi generasi sekarang dan masa depan adalah tidak masuk akal, bahkan sebarang tebus guna masih memerlukan perlombongan dan pengambilan pasir," katanya.

Beliau juga bimbang projek itu akan memberi kesan kepada peningkatan paras laut akibat perubahan iklim terhadap kelangsungan dan kemapanan PSR.

"Sebarang tebus guna yang dilakukan tidak dapat mengembalikan semula kehilangan kepada ekosistem. Ia tidak dapat diperbaiki dan diganti.

"Kita sepatutnya menilai, melindungi, memulihara ekosistem lautan dan pantai yang kaya ini sebagai ganti penjualan tanah. Kenapa mahu merosakkan alam sedangkan masih banyak tanah di sebelah seberang (tanah besar)," katanya.

Katanya, terdapat alternatif yang lebih baik dan murah seperti Autonomous Rail Transit (ART) dan Bus Rapid Transit (BRT) untuk mengganti transit aliran ringan (LRT) yang dianggarkan kosnya melebihi RM10 bilion

"SAM berharap permohonan pembiayaan dari Kerajaan Pusat dikaji semula. Lagipun, pembiayaan dari Kerajaan Pusat bagi pelan juga tidak masuk akal dan hanya akan meningkatkan hutang kerajaan selain membazirkan wang pembayar cukai.

"Disebabkan itu, kami dan kumpulan masyarakat sivil lain yang prihatin secara konsisten menggesa kajian semula Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bebas supaya pelan yang lebih baik digunapakai iaitu lebih murah, baik dan alam sekitar yang mampan bagi menyelesaikan masalah lalu lintas.

"Tiba masanya kajian semula yang lebih adil dan bebas dijalankan ke atas PTMP sekali gus membatalkan PSR. Tiada penyelesaian yang lebih baik berbanding membatalkannya," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) Perak, Hafizudin Nasarudin berkata, kesan tambakan laut di selatan Pulau Pinang dilihat akan memberi kesan bukan sahaja pada negeri ini malah melibatkan utara Perak.

Menurutnya, pihaknya bimbang kesan itu akan menyebabkan hakisan di kawasan paya bakau berdekatan selain air laut akan mengubah laluannya dan menyebabkan hakisan terutama di Tanjung Piandang dan Nibong Tebal sekiranya ketiga-tiga pulau buatan itu dibina.

"Kami bimbang apa yang berlaku ketika tambakan projek untuk Pulau Marina di Pangkor dahulu akan berlaku sekali lagi. 10 tahun lalu, apabila Pulau Marina dibina, sebanyak 500 meter hingga 1km paya bakau di kawasan Teluk Muroh, Lekir dan Manjung mengalami hakisan.

"Jika ia masih diteruskan, kesannya juga akan sama seperti di Perak dahulu malah hakisan di kawasan tersebut masih berlaku sehingga hari ini. Kesan perlombongan pasir di dasar laut di Tanjung Piandang akan menyebabkan sebuah kawah besar berlaku.

Katanya, jika ia berlaku, sumber galian dan marin akan pupus yang mana akan menyebabkan ikan, udang dan ketam tidak boleh hidup.

"Jika tiada hasil laut ini, bagaimana nelayan mahu mencari rezeki? Sama seperti nelayan di Pulau Pinang, mereka akan menjala lumpur dan batu-batu," katanya.

Dia berkata, selain kesan terhadap nelayan, projek mega itu juga akan memberi kesan kepada alam sekitar dan habitat haiwan.

"Tambakan laut ini juga akan mengganggu tempat pendaratan penyu iaitu di Segari, Perak. Kawasan ini adalah kawasan pendaratan bagi penyu Agar.

"Bukan sahaja di Perak, kawasan di Gertak Sanggul juga merupakan kawasan pendaratan penyu Lipas," katanya.