Majlis Daerah Jempol diisytihar Majlis Perbandaran

Iklan
Aminuddin (tengah) pada sidang medianya semalam.
SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan akan membuat pengisytiharan Majlis Daerah Jempol kepada Majlis Perbandaran pada 29 Januari 2019, sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang ke-71.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, majlis pengisytiharan tersebut akan disempurnakan Tuanku Muhriz, setelah mendapat perkenan mengenai tarikh yang dipilih untuk mengadakan majlis itu di pekarangan Majlis Daerah Jempol.

Menurutnya, pengisytiharan ini merupakan sebahagian daripada program sempena Hari Keputeraan Tuanku Muhriz pada 14 Januari 2019.

"Sempena pengisytiharan Majlis Perbandaran Jempol ini juga, beberapa program telah dirancang antaranya majlis bacaan Yasin, pertandingan memancing, pertandingan memasak dan gubahan, pertandingan explorerace, marathon dan pelbagai acara rakyat untuk menarik pengunjung datang ke Jempol.

"Disamping itu, kita juga akan membuat majlis pelantikan baharu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol, setelah penyandang sebelum ini ditukar ke Majlis Perbandaran Seremban, dan turut diadakan serentak pelantikan Pegawai Daerah Jempol yang kini masih kosong,” katanya.

Tambahnya, Majlis Perbandaran Jempol ini merupakan Majlis Perbandaran keempat, selepas Seremban, Port Dickson dan Nilai.

Katanya, pengisytiharan ini dibuat setelah mengambil kira kutipan hasil dan bilangan jumlah penduduk yang semakin ramai di Jempol, melayakkan daerah tersebut diiktiraf sebagai Majlis Perbandaran.

Selain itu katanya, pihaknya juga akan meneliti beberapa majlis daerah lain seperti Tampin dan Rembau untuk diiktiraf sebagai Perbandaran, namun bergantung kepada keupayaan masing-masing dalam mengurus dan bilangan hasil yang dikutip serta penduduk yang boleh ditingkatkan oleh mereka.