KAKI ponteng solat Jumaat di Terengganu sudah seperti cacing kepanasan kerana mereka menyedari diri diperhati dan mengetahui tidak ‘selamat’ untuk tidak pergi ke masjid menunaikan solat Jumaat.
Mereka tidak boleh bebas ponteng solat Jumaat seperti sebelum ini lagi apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mempraktikkan satu kaedah dengan meletakkan anggota penguat kuasa wanita sebagai ‘mata-mata’ bagi mengesan lelaki yang sengaja meninggalkan solat Jumaat.
Kumpulan penguat kuasa daripada golongan hawa itu ditugaskan memantau setiap gerak geri kaum adam yang masih berada di kawasan lain selain masjid sepanjang waktu solat Jumaat.
Sejurus selesai solat Jumaat, penguat kuasa lelaki yang solat di masjid berhampiran akan bergegas ke lokasi sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Nyata kaedah baharu yang digunakan JHEAT bagi mengekang gejala ponteng solat Jumaat di Terengganu berkesan apabila berjaya menahan 29 kaki ponteng solat Jumaat hanya dalam tempoh dua bulan bermula Julai lalu.
Amat menyedihkan dalam situasi itu, kesemua mereka yang berusia antara 16 hingga 40 tahun ditangkap yang mana sebahagiannya dalam keadaan sudah lengkap memakai pakaian baju Melayu dan bersongkok.
Malah ada juga ketika ditahan sanggup menipu kononnya musafir tetapi setelah disoal siasat, mereka akhirnya mengaku hanya penduduk tempatan dari sekitar kawasan berhampiran.
Turut menarik perhatian penulis ialah tangkapan sembilan lelaki yang menjalankan aktiviti mendaki di Bukit Keluang, Besut pada waktu solat Jumaat.
Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail berkata, pihaknya sebelum ini membuat pendekatan mendidik dengan memberi nasihat namun ia seakan-akan tidak memberi kesan dan disebabkan itulah operasi ‘ponteng solat Jumaat’ diperkenalkan.
"Kita turun padang mendekati golongan ini dan menasihatkan mereka menunaikan solat Jumaat. Ada sesetengah mereka ini menunaikan solat Jumaat namun dilihat melengah-lengahkan masa untuk masuk ke masjid berhampiran.
"Tangkapan yang dilakukan ini bukan untuk menghukum atau memalukan mereka tetapi sebagai peringatan kepada kewajipan sebagai seorang Muslim,” katanya.
Kaki ponteng itu juga jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.Pertikai
Meskipun JHEAT berjaya menjejaki kaki ponteng solat Jumaat dengan kaedah yang diperkenalkan itu, namun masih ramai yang mempersoalkan kewajaran cara penguatkuasaan yang dilaksanakan jabatan agama itu.
Ada yang mempertikaikan undang-undang tersebut tidak relevan kerana sukar untuk kita menentukan dan membuktikan individu itu tidak solat selain ada juga yang berpendapat solat adalah hak individu.
Antara soalan yang dilemparkan ialah kenapa perlu pihak penguat kuasa hendak memaksa untuk solat? Bukankan cara paksaan itu boleh mengundang tidak ikhlas dalam beribadah?
Tetapi persoalan yang diajukan itu sebenarnya sebelum ini pernah dijawab dan dijelaskan oleh Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah yang menegaskan tindakan yang dikenakan terhadap umat Islam di negeri itu adalah satu pelaksanaan yang relevan.
Malah, ujarnya, masyarakat perlu tahu itu bukan bertujuan menghukum tetapi sebagai pengajaran bagi mendidik umat Islam mematuhi perintah ALLAH SWT menerusi pelaksanaan undang-undang.
"Tindakan itu juga secara tidak langsung menunjukkan kasih sayang pemimpin yang bertanggungjawab untuk mengelakkan umat Islam daripada terus melakukan dosa dan maksiat,” katanya.
Bagaimanapun, penulis berpendapat penguatkuasaan sebenarnya perlu bagi meningkatkan kesedaran umat Islam mengenai kewajipan melaksanakan solat fardhu yang lain bermula dengan penekanan solat Jumaat secara berjemaah.
Mungkin ada umat Islam yang seumur hidup tidak pernah solat. Menerusi penguatkuasaan ini secara tidak langsung akan membuatkan dia datang ke masjid dan dan siapa tahu nanti hadirnya hidayah yang memberi kesedaran kepadanya.
Anggaplah tindakan yang dilakukan JHEAT hanya untuk menyedarkan kita tentang pentingnya solat dalam kehidupan seharian.