Macma sokong pembaharuan holistik Maszlee

Iklan
540447

KOTA BHARU - Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) berpendapat Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik harus diberi masa untuk terus laksana beberapa pembaharuan holistik dalam mengukuhkan sistem pendidikan negara supaya lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Naib Presidennya, Dr Johari Yap berkata, meskipun baru setahun setengah menerajui Kementerian Pendidikan, Maszlee dilihat berjaya menambah baik sistem pendidikan negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, memberikan lebih perhatian dan manfaat kepada pelajar dari golongan B40, memperkasakan guru serta komitmen menangani isu sekolah daif adalah antara penambah baik dilakukan.

"Selain itu, beliau juga mempermudahkan pendidikan kepada golongan orang kurang upaya, meningkatkan kewibawaan institusi pendidikan serta meningkatkan kerjasama dan jaringan dalam pendidikan tinggi, pendidikan teknikal dan latihan vokasional.

Iklan

"Beliau juga mendekatkan universiti kepada masyarakat dengan membawa institusi pendidikan tinggi supaya memberi sumbangan dan impak yang lebih besar kepada masyarakat,” katanya di sini hari ini.

Johari berkata, sebagai seorang yang gemar membaca, Maszlee melancarkan beberapa kempen bertujuan membentuk masyarakat ilmu bertaraf dunia dengan fokus pembacaan untuk pengetahuan dan pembudayaan amalan tersebut.

Iklan

"Macma melihat beliau mengambil inisiatif melalui kementeriannya dengan mengambil pendekatan baharu yang lebih mantap lagi agresif bagi menarik lebih ramai masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan.

"Slogan #MALAYSIAMEMBACA dilancarkan dan dipopularkan sebagai aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara membaca dan melahirkan masyarakat berilmu bertaraf dunia,” katanya.

Katanya, selain itu, Maszlee juga sangat menekankan dasar penerapan nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan kegembiraan dalam pendidikan negara.

"Berdasarkan prestasi dan pencapaian cemerlang ditonjolkan Menteri Pendidikan setakat ini, sudah terbukti yang beliau berjaya membawa pembaharuan holisitik dalam pendidikan negara.

"Kami dari Macma memberikan sokongan penuh kepada Maszlee supaya beliau dapat meneruskan tugasnya bagi memastikan kelangsungan agenda pembaharuan pendidikan negara,” katanya.

Katanya, setiap rakyat Malaysia tidak kira latar belakang sosioekonomi, kaum, fizikal, budaya dan agama diberikan hak sama rata untuk mendapat pendidikan tanpa meminggirkan golongan minoriti serta mereka yang kurang upaya.

Maszlee, 45, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada Mei 2018 selepas Dr Mahathir membentuk Kerajaan Pakatan Harapan setelah Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Jumaat lalu juga, satu undian di sebuah portal meletakkan nama Maszlee sebagai menteri yang meraih undian tertinggi untuk digugurkan sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan rombakan Kabinet.