Sabah hargai tugas media dapatkan maklumat sahih hingga ke pedalaman

Iklan
Shafie Apdal

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah menghargai seterusnya berterima kasih kepada pengamal media khususnya di negeri ini yang komited mendapatkan maklumat sahih mengenai sesuatu situasi sehingga ada yang sanggup masuk ke kawasan pedalaman.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ia memperlihatkan komitmen pengamal media untuk sentiasa memastikan berita dihasilkan serta disampaikan kepada para pembaca adalah benar dan tepat sekali gus dapat memberi gambaran jelas mengenai sesuatu keadaan.

Iklan
Iklan

"Justeru, pengamal media di negeri ini diharap akan terus memainkan peranan penting seperti itu dalam memberi laporan berita benar dan maklumat terbaik kepada rakyat ke arah membawa Malaysia khususnya Sabah terus maju ke depan," katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Media Kinabalu 2019 malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau serta Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Muguntan Vanar.

Iklan

Pada majlis itu, wartawan dan jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Sabah meraih enam anugerah merit bagi empat kategori.

Wartawan Noorazlina Jindeh meraih merit bagi kategori Laporan Hiburan, Kebudayaan dan Seni manakala jurugambar, Arjasneh Ahmad meraih tiga merit masing-masing bagi kategori Anugerah Fotografi Berita Terbaik, Anugerah Fotografi Alam Sekitar dan Anugerah Fotografi Terbaik.

Iklan

Turut meraih dua merit dalam anugerah media tersebut ialah jurugambar Zamain Singkui masing-masing bagi kategori Anugerah Fotografi Alam Sekitar dan Anugerah Foto Terbaik. - Bernama