PKR perlu tegas banteras salah guna kuasa, rasuah: Anwar

Iklan
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu tegas membanteras penyalahgunaan kuasa dan rasuah, tegas Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berkaitan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan pihaknya terkhilaf apabila mencadangkan tindakan tatatertib kepada dua ahli PKR.

Iklan
Iklan

Menurutnya, meskipun SPRM mengakui tersilap namun kandungan surat diserahkan suruhanjaya itu sangat serius.

"Lembaga disiplin merujuk kepada surat yang SPRM kata silap tapi kandungan surat SPRM tak pertikai dan kandungan surat itu agak serius.

Iklan

"Sebagai parti, kita mesti tegas membanteras penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Sama ada silap teknikal atau tidak, itu soal lain.

"Jadi saya akan merujuk dan akan dipertimbang oleh lembaga disiplin,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Anwar menyatakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid yang dipecat daripada parti boleh membuat rayuan namun beliau sekali lagi menegaskan ‘kandungan surat itu serius’.

"Dia memang boleh buat rayuan tapi kandungan surat itu serius. Tidak membawa kepada pendakwaan tetapi memperakui supaya kita ambil tindakan dan kandungan surat itu tidak dipertikai dan dengan bukti-bukti sekali.

"Tetapi tentang kesalahan penyalahgunaan kuasa, sogokan, benda ini serius, kalau kita ambil sambil lewa kerana isu teknikal itu susah.

"Bagaimanapun perkembangan ini mesti beri ruang untuk dia (Zakaria) merayu atau lembaga disiplin melihat semula,” katanya.

Ahad lepas, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim mengumumkan dua ahli PKR Pahang dipecat keanggotaan parti itu serta-merta akibat salah laku rasuah dan suapan ketika pemilihan parti tahun lepas.

Ahmad berkata, salah laku kedua-dua ahli PKR itu diperakukan SPRM melalui surat yang diterima parti bertarikh 23 Oktober lalu.

Ahmad turut meminta lembaga disiplin parti mengenakan tindakan tata tertib terhadap individu terbabit dan memaklumkan kembali kepada SPRM.

ARTIKEL BERKAITAN SPRM akui silap cadang tindakan tatatertib ahli PKR