BUTTERWORTH - Sebanyak 514 botol putik bunga kering dari China bernilai RM4,112 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang bulan lalu.
Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, rampasan itu dibuat ke atas seorang warga China yang membawa dua bungkusan di laluan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 9.30 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati konsainan terbabit adalah jenis putik bunga kering antaranya 270 botol putik bunga mawar kering seberat 350 gram sebotol, 244 botol putik bunga kekwa kering seberat 500 gram sebotol.
"Kesemua barangan itu didapati dibawa masuk tanpa dokumen sah antaranya Permit Import dan Sijil Fitosanitasi yang dikeluarkan dari negara pengeksport China di LTAPP.
"Jumlah keseluruhan rampasan adalah 514 botol seberat 216.50 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM4,112. Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, pemilik barangan itu diberikan notis selama sebulan sehingga hari terakhir hari ini untuk menyelesaikan kes namun gagal dan tindakan lucut hak dan dilupuskan akan dilakukan jika barangan tersebut tidak dituntut.
"Kita sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.
"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.