SHAH ALAM - Kerajaan perlu menyelidik secara terperinci tindakan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) berhubung paparan bendera Malaysia dengan lima bintang ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 semalam.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, tindakan MABA itu adalah perbuatan menunjukkan kejahilan sekelompok manusia yang tanpa segan mengaku warganegara tetapi hakikatnya mereka hanyalah parasit.
"Jika benar sekelompok manusia itu benar-benar menjiwai semangat patriotisme negara ini, agak mustahil corak bendera negara sendiri pun boleh terlupa.
"Saya tertanya-tanya apa yang mereka belajar di sekolah selama ini? Atau adakah sekolah jenis kaum tidak menekankan semangat kebangsaan kepada pelajarnya?,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, tidak hairan jika masih ada segelintir masyarakat tidak fasih berbahasa kebangsaan, tidak kenal nama Yang di-Pertuan Agong dan tidak tahu mengenai sejarah negara sebelum dijajah Barat.
"Jika kes sama terjadi di negara luar seperti di Thailand atau Indonesia, sudah pasti pihak terbabit diheret supaya membuat permohonan maaf secara terbuka sebelum diambil tindakan pihak berkuasa di sana.
"Pihak berkuasa negara ini juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap 'perlecehan' simbol-simbol nasional negara, sama ada sengaja atau tidak,” katanya.
Katanya, dikhuatiri perkara akan terus menjadi fenomena dan provokasi bukan sahaja mampu memecah-belahkan, malah mengelirukan masyarakat.
"Sudah tiba masanya elemen kebangsaan negara ini diperkasakan tanpa kompromi supaya semua lapisan masyarakat bersatu padu, saling hormat-menghormati dan tidak hidup dalam kelompok kaum sendiri sahaja,” katanya.
Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak memandang enteng sebarang kes yang melibatkan simbol kebangsaan kerana negara perlu dihormati dan disyukuri manusia-manusia yang mendabik dada sebagai warganegara.