KUANTAN - Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas) hari ini menerima kunjungan delegasi Mesir sempena lawatan dakwah dan akademiknya ke beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta agensi dakwah di negara ini.
Penasihat Agama Presiden Republik Arab Mesir, Syeikh Dr Usamah Sayyid Mahmud Muhammad Al Azhari disambut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Mudir Maahad Tahfiz Al Quran Dar Al Misri, Syeikh Abdil Razak Al Masri dan Dekan Fakulti Pengajian Islam Kuipsas, Dr Muhamad Fadlly.
Usamah Sayyid Mahmud turut berkongsi mengenai metodologi dakwah kontemporari terhadap Islam pada masa kini di hadapan lebih 300 warga Kuipsas selain berkongsi mengenai Universiti Al Azhar yang menjadi pilihan seluruh dunia untuk menyambung pengajian.
"Kepimpinan Al Azhar bertungkus lumus mengkaji ilmu selama 1,000 tahun dan menerima ribuan pelajar dari seluruh dunia dengan pelbagai latar belakang dan sosio budaya.
"Mereka dari tempat berlainan, mula mempelajari ilmu dengan cara berlainan dan membawa dalam diri mereka budaya yang berlainan namun Al Azhar berjaya mengorientasikan kesemua pelajar itu," katanya ketika berucap di Auditotirum Kuipsas, di sini hari ini.
Menurutnya pelajar di Al Azhar diterima seawal usia 10 tahun dan khatam al Quran serta menamatkan minimum 12 ilmu termasuk perubatan, falak, kejuruteraan dan matematik.
Sementara itu, Dr Muhamad berkata, kebanyakan ibu bapa graduan Kuipsas memilih Timur Tengah seperti universiti Al Azhar untuk menyambung pengajian.
"Terdapat 60 peratus pelajar Kuipsas yang juga anak jati negeri Pahang. Setakat ini pelajar di sini boleh menyambung pengajian tahun tiga di Al Azhar.
"Berdasarkan kelulusan dan batch kelima berjaya ke Mesir, Universiti Al Azhar menjadi IPT tumpuan dan kecenderungan pelajar kerana selepas menerima diploma pelajar boleh terus menyambung pengajian dalam bidang Syariah, Dakwah dan Usuluddin," katanya.
Dr Muhamad berkata, Kuipsas akan mengadakan hari terbuka pada 14 Disember ini untuk kemasukan ke Kuipsas.