PENGENDALI skuad Bawah 22 tahun (B -22) negara, Datuk Ong Kim Swee menuntut para pemainnya terutama jentera serangan supaya lebih tajam menjelang pertemuan menentang Filipina pada aksi kedua Kumpulan A temasya Sukan SEA 2019 di Stadium Memorial Rizal, Manila Jumaat ini.
Menurut Kim Swee, barisan serangan negara yang diketuai Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, Luqman Hakim Shamsudin dan Akhyar Rashid kelihatan buntu untuk menjaringkan gol dalam aksi pertama menentang Myanmar kelmarin walaupun mempunyai beberapa peluang keemasan.
"Apa yang penting adalah kita mampu untuk mencipta peluang. Selepas ini, kita harus pastikan peluang yang dicipta mampu disudahkan dengan jaringan gol.
"Jika tidak, kita mungkin akan menghadapi masalah dari segi bilangan gol dan menghadapi kesukaran untuk mencipta kemenangan," katanya kepada pemberita sejurus tamat aksi menentang Myanmar.
Dalam aksi menentang Myanmar di Stadium Memorial Rizal kelmarin, skuad Harimau Muda menampilkan persembahan kurang bermaya dan hanya mampu meraih satu mata selepas mencatatkan keputusan seri 1-1.
Hadi Fayyadh muncul penyelamat skuad negara apabila menjaringkan gol penyamaan bagi memadam jaringan pembukaan Myanmar menerusi Soe Moe Kyaw seawal minit ke-12.
Dalam pada itu, Kim Swee memberitahu, dua pemain muda daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) - Luqman Hakim dan Umar Hakeem Suhar Rezwan memerlukan lebih masa untuk memberikan impak kepada persembahan Harimau Muda.
Kedua-dua pemain terbabit diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Myanmar dengan Umar Hakeem disifatkan Kim Swee menampilkan persembahan baik manakala prestasi Luqman Hakim masih belum berada pada tahap yang memuaskan.
"Kedua-dua pemain ini (Luqman Hakim dan Umar Hakeem) telah menunjukkan persefahaman yang baik dan bagi saya, itu adalah yang lebih penting.
"Apa yang saya inginkan, kesemua pemain baik yang senior dan pemain muda bergabung dan mempunyai kombinasi yang lebih baik untuk perlawanan-perlawanan akan datang," jelasnya.