'Bunyi letupan kuat, berlari keluar rumah'

Iklan
Keadaan jalan yang rosak dan merekah akibat air melimpah sehingga kira-kira 1.5 meter.

SUNGAI PETANI - Letupan kuat kira-kira jam 5 petang pada Ahad lalu mengejutkan penduduk menyebabkan mereka bertempiaran lari termasuk kanak-kanak yang sedang mandi hujan.

'Pukulan air' yang kuat mengakibatkan beberapa rumah terjejas manakala perabot serta perkakasan rumah penduduk di Taman Songket hanyut dan rosak teruk.

Rumah mangsa yang mengalami kerosakan sehingga pintu kaca pecah ditolak air deras.

Iklan
Iklan

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila hujan lebat tanpa henti lebih sejam menyebabkan kolam dalam kawasan Institut Tadbiran Awam Negara Wilayah Utara (Intura) yang terletak di belakang perumahan penduduk, tidak mampu menampung kapasiti air mengakibatkan tembok Intura pecah dan air melimpah ke rumah penduduk.

Aliran air yang terlalu kuat turut mengakibatkan jalan di hadapan kediaman mereka berlubang dan merekah.

Iklan

Penduduk, Lectumy Muniandy, 51, berkata, kejadian itu menyebabkan dia dan beberapa ahli keluarga lain keluar dari rumah di Taman Songket bagi menyelamatkan diri.

Danam di hadapan rumahnya yang terjejas akibat kejadian banjir kilat di Taman Songket.

"Tiba-tiba sahaja bunyi boommm! Kanak-kanak yang sedang mandi hujan pun berlari keluar, semua takut dan lari," katanya.

Iklan

Jirannya, M Danam, 59, bersyukur kerana ketika kejadian, dia dan suami keluar ke pusat bandar dan menerima panggilan memaklumkan rumah mereka dinaiki air selain pintu kaca dan pagar rumah rosak.

"Saya terkejut sebaik sahaja tiba di rumah melihat peralatan dapur hilang dihanyutkan air manakala pagar saya pula tercabut dibawa arus," katanya.

Justeru, Danam berharap ada pihak yang sudi membantu membaik pulih kediamannya dan penduduk terbabit kerana tidak selesa untuk menumpang rumah keluarga lain dalam tempoh lama.

"Kalau boleh bantuan dipercepatkan kerana bimbang tembok itu roboh lagi. Semua barang dalam rumah rosak dan kami tidak tahu di mana nak tinggal," katanya.

Laluan air tersekat punca air melimpah

Sementara itu Sundaramurthy Gopal, 60, mendakwa laluan air yang menghubungkan longkang perumahan dan kolam itu, tersekat antara punca air melimpah.

Peralatan dapur seperti pinggan, mangkuk dan periuk hilang dihanyutkan air deras dalam kejadian Ahad lalu.

Katanya, sampah banyak dan hujan lebat menyebabkan air kolam melimpah dan deras menyebabkan tembok simen runtuh.

Akibat kejadian itu, seramai 89 mangsa membabitkan 19 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Mahajothi, Ahad lalu.

Bagaimanapun, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah berkata, pusat pemindahan sementara yang menempatkan mangsa telah ditutup secara rasmi pada jam dua petang tadi.

Jalan rosak telah dipulihkan dan boleh dilalui kenderaan sejak semalam.

"Merujuk kepada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Kuala Muda, Pegawai Daerah, Datuk Md Nordin Yahya memutuskan agar baki mangsa bencana banjir kilat seramai 11 orang dari tiga keluarga yang masih tinggal di pusat pemindahan dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

"Dengan pengumuman tersebut maka pusat pemindahan sementara telah ditutup secara rasminya,"katanya.