Pengawal perumahan tiada kuasa beri EOT kepada pemaju

Iklan

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan bahawa pengawal perumahan tidak mempunyai kuasa untuk memberi lanjutan masa (EOT) kepada pemaju untuk menyiapkan projek pembangunan hartanah mereka.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim memutuskan bahawa Peraturan 11 (3) Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989 yang memberikan kuasa kepada pengawal untuk mengetepikan dan mengubah suai terma dan syarat kontrak penjualan antara pembeli dan pemaju adalah ultra vires terhadap Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966.

Iklan
Iklan

"Dengan memodifikasi terma dan syarat yang ditetapkan dan dengan memberikan pemaju EOT, pengawal telah menafikan hak pembeli untuk menuntut ganti rugi jumlah tertentu (LAD)," katanya.

Hakim Tengku Maimun berkata, pengubahsuaian dan pemberian EOT kepada pemaju tidak dilihat untuk melindungi pembeli tetapi pemaju dan ia menghalang hasrat Parlimen.

Iklan

Beliau berkata, tidak ada peruntukan yang membolehkan pengawal menjalankan kuasa Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Hakim Tengku Maimun berkata, sama ada pemaju telah diberikan pelanjutan masa tidak semestinya menentukan nasib projek itu, sambil menambah bahawa EOT hanya menentukan pembayaran LAD.

Iklan

Beliau berkata, hujah peguam pemaju bahawa menteri telah mewakilkan kuasanya kepada pengawal untuk membuat keputusan mengenai perlanjutan masa, tidak dapat dibenarkan.

Katanya, tidak ada keputusan oleh menteri untuk memberi lanjutan masa kepada pemaju berdasarkan kepada surat yang ditandatangani oleh K Jayaseelan bagi pihak pengawal untuk menyampaikan keputusan kementerian.

Beliau berkata, tidak ada afidavit menteri untuk menjelaskan perbezaan itu dan menyatakan bahawa menteri telah memutuskan untuk membenarkan rayuan pemaju.

Hakim lain yang mendengar rayuan itu ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Nallini Pathmanathan. Seorang lagi hakim, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin yang mendengar rayuan itu pada Mei lepas telah bersara.

Mahkamah Persekutuan membenarkan empat rayuan yang difailkan oleh 104 pembeli unit kondominium Sri Istana Condominium di Jalan Klang Lama dan menolak dua rayuan oleh pemaju projek, BHL Construction Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi pada 27 Februari 2017 semasa membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh pembeli telah mengetepikan perintah oleh menteri untuk memberi lanjutan 12 bulan kepada BHL Construction Sdn Bhd untuk menyiapkan projek itu.

Dalam permohonan untuk semakan kehakiman, mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan yang membolehkan BHL Construction melanjutkan masa penyerahan pemilikan kosong daripada 36 bulan kepada 48 bulan.

Pemaju gagal menyiapkan dan menyerahkan unit kepada pembeli dan menulis kepada Pengawal Perumahan di bawah kementerian untuk lanjutan masa. Pengawal menolak permohonan pemaju untuk lanjutan masa.

Pemaju kemudian merayu kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang pada 17 November 2015 membenarkan lanjutan 12 bulan. Berikutan lanjutan masa itu, pembeli tidak dapat menuntut LAD seperti yang disediakan dalam SPA.

Pada tahun lepas, Mahkamah Rayuan meminda keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan bahawa pengawal mempunyai kuasa yang luas di bawah akta berkenaan. - Bernama