APMM terus pantau perairan pantai timur pada musim tengkujuh

Iklan
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Ibrahim Mohamed (tengah) menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Pengarah APMM Pahang oleh Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar kepada penggantinya Laksamana Pertama Maritim Amran Daud (kiri) hari ini. - Foto Bernama

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meneruskan rondaan bagi memantau aktiviti pencerobohan bot nelayan asing dalam kawasan perairan negara ketika musim tengkujuh ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Ibrahim Mohamed berkata, ia termasuk operasi Ops Naga yang terus digerakkan bagi membendung pencerobohan bot nelayan Vietnam yang berkemungkinan mengambil peluang menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan cuaca tidak menentu dan laut bergelora ketika ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, usaha berterusan yang digerakkan APMM itu bagi memastikan perairan negara sentiasa terkawal daripada sebarang bentuk pencerobohan asing.

"Ia juga bertujuan memantau kemasukan bot nelayan asing yang berada di perairan antarabangsa untuk mencari perlindungan di pulau-pulau dalam perairan negara ketika cuaca buruk.

Iklan

"Kita mengenal pasti beberapa pulau dalam kawasan perairan pantai timur yang sering menjadi lokasi perlindungan bot asing termasuk Pulau Kapas dan Pulau Tenggol di Terengganu, Pulau Tioman di Pahang dan Pulau Aur yang berada di kawasan perairan negeri Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah dan Terima Tugas Pengarah APMM Pahang di Ibu Pejabat APMM Pahang, Indera Mahkota di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir Pengarah APMM Pahang baharu, Laksamana Pertama Maritim, Amran Daud dan Pengarah Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Putrajaya yang juga mantan Pengarah APMM Pahang, Laksamana Muda Datuk Zulkarnain Mohd Omar.

Ibrahim berkata, bot nelayan asing yang mencari perlindungan dalam kawasan perairan negara perlu mendapatkan kebenaran diplomatik daripada pihak kedutaan melalui Wisma Putra.

"Jika ada permohonan itu kita akan menggerakkan aset ke lokasi dinyatakan bagi tujuan memantau kerana bot nelayan asing terbabit hanya dibenarkan berlabuh manakala krewnya tidak boleh mendarat di pulau-pulau berkenaan.

"Pada masa sama, kita juga memantau kemungkinan bot-bot itu mengambil kesempatan menangkap ikan ketika masuk untuk berlabuh mencari perlindungan," katanya.

Ibrahim berkata, berkenaan Ops Naga yang dilaksanakan pihaknya sudah menahan 184 bot nelayan Vietnam dan menahan 1,600 awak-awak termasuk tekong.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim berkata, APMM juga sentiasa bersedia untuk menggerakkan aset sekiranya berlaku kes-kes kecemasan di laut terutama dalam keadaan laut bergelora di perairan pantai timur ketika ini.

"Pada masa sama, kita minta komuniti maritim khususnya nelayan supaya peka dengan amaran cuaca sebelum turun ke laut ketika ini.

"Kita minta mereka rujuk laporan cuaca terlebih dahulu sama ada selamat atau tidak sebelum keluar menangkap ikan.

"Kita minta nelayan yang berhasrat turun ke laut dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini supaya memaklumkan kepada APMM supaya tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh seminggu ini belum ada laporan kes-kes kecemasan membabitkan bot nelayan diterima pihaknya.

"Kita juga akan mengambil langkah menasihati bot nelayan dan ditemui semasa rondaan agar kembali ke darat jika keadaan cuaca agak berbahaya sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.